WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

BEKAS TAHANAN RAKYAT SARAWAK SELAMAT TIBA

Kesungguhan serta keprihatinan Kerajaan Sarawak kunci utama kejayaan misi membebaskan dan membawa balik semua 40 rakyat Sarawak


Back To Whats Hot

KUCHING: Kesungguhan serta keprihatinan Kerajaan Sarawak kunci utama kejayaan misi membebaskan dan membawa balik semua 40 rakyat Sarawak yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay MeanChey, Poipet, barat Kemboja.

Semua 40 bekas tahanan rakyat Sarawak dan tiga lagi dari Sabah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 2.15 petang semalam menggunakan pesawat JC International Airlines dari Lapangan Terbangan Antarabangsa Siem Reap, Kemboja.

Turut bersama dalam penerbangan tersebut, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah  yang mengetuai misi tersebut bersama Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Selepas dua bulan ditahan, akhirnya pada Jumaat lepas Kerajaan Kemboja telah memberikan kelulusan pembebasan kepada semua rakyat kita yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay MeanChey.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia kita ingin berterima kasih kepada Kerajaan Kemboja atas kerjasama yang baik dalam urusan pembebasan sehingga selamat tiba di Kuching hari ini (petang semalam),” kata Fatimah pada sidang media setiba di LTAK semalam.

Tambah Fatimah, pihaknya berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam misi membawa balik semua bekas tahanan namun urusan tersebut berjalan dengan lancar dengan adanya bantuan daripada Menteri Kanan yang dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Kemboja Datuk Othsman Hassan.

“Bagi pihak Kerajaan Sarawak dan Malaysia amnya kita amat menghargai kerjasama baik Kerajaan Kemboja terutama Othsman sehingga kelulusan pembebasan daripada Perdana Menteri Kemboja Hun Sen.

“Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana keputusan beliau untuk menghantar kami ke Kemboja inilah yang telah memungkinkan kejayaan misi ini,” katanya.

Sementara itu Wan Junaidi berkata kunci utama kepada kejayaan pembebasan ini adalah kesungguhan Kerajaan Sarawak untuk membantu membawa balik semua tahanan dari Kemboja termasuk mereka dari Semenanjung Malaysia dan Sabah.

“Pendekatan diplomatik adalah satu-satunya pilihan kita dalam memastikan kejayaan memastikan kejayaan misi membawa balik semua rakyat kita ini.

“Kerajaan Kemboja kata Kerajaan Sarawak ambil berat sehingga sanggup menghantar wakil dan itu adalah kunci utama kepada kejayaan kita,” katanya pada sidang media yang sama.

Dalam pada itu Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menanggung sepenuhnya kos penerbangan balik semua tahanan menggunakan pesawat yang ditempah khas itu.

Kerajaan Sarawak turut menanggung kos penerbangan balik tiga tahanan Sabah menggunakan penerbangan pada sebelah malam hari yang sama dan penghantaran balik semua tahanan Sarawak dari Sibu pada hari ini.

Sumber: Utusan Borneo