WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

'MOGA WANITA ITU SEGERA DITANGKAP'

Dia dan rakannya mengadakan skim penipuan, kononnya dengan pelaburan RM1,000 boleh mendapat pulangan RM1 juta. Beberapa kawan saya sudah terkena


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Amy Search, berasakan dirinya bertanggungjawab untuk menyebarkan maklumat mengenai pencarian seorang wanita yang dipercayai terbabit dengan aktiviti penipuan wang.

Amy mendakwa, wanita berkenaan menipu mangsa yang kebanyakannya terdiri daripada kalangan penduduk luar bandar, selain beberapa rakannya sendiri, dengan mewujudkan skim pelaburan palsu.

"Dia dan rakannya mengadakan skim penipuan, kononnya dengan pelaburan RM1,000 boleh mendapat pulangan RM1 juta. Beberapa kawan saya sudah terkena.

“Mereka kini terus menjalankan aktiviti penipuan berkenaan di kampung. Wanita ini ternyata sangat licik. Dia pandai menggunakan dokumen dan segala surat menyurat untuk menampakkan pelaburan itu benar-benar wujud.

"Saya juga pernah terkena dengan penipuan lebih kurang sama, sebelum ini. Jadi, menjadi tanggungjawab saya untuk menyebarkan perkara ini agar penipuan dapat dihentikan dan wanita itu segera ditangkap," katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, Amy, 60, menerusi Instagram Story mendedahkan wajah wanita terbabit yang dipercayai terbabit dengan aktiviti penipuan wang. Penyanyi itu turut berharap agar wanita terbabit segera ditangkap.

Sementara itu, Amy meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan pelbagai bentuk penipuan, terutamanya berkaitan pelaburan wang yang menjanjikan keuntungan besar.

"Sejak dulu lagi memang sudah wujud skim penipuan wang, cuma konsepnya sahaja berbeza. Ingatlah, kalau ada orang yang datang dengan tawaran pulangan wang yang lumayan, jangan percaya!

"Lebih baik buat pelaburan bersama Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Walaupun pulangannya tidak sebesar apa dijanjikan oleh skim penipuan, tetapi ia terjamin.

"Sama juga dengan pelaburan emas. Jangan kita membeli sesuatu begitu sahaja daripada sebarangan pihak. Pergilah ke saluran yang betul. Ada beberapa bank yang menawarkan pelaburan emas,” katanya.

Sumber: Berita Harian