WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

ADA TAHI BINTANG DI SABAH?

Letupan pada kira-kira 11.30 malam itu dapat didengar dan dirasai penduduk sekitar daerah ini, Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran


Back To Whats Hot

Letupan kuat disusuli gegaran di beberapa daerah di Sabah lewat malam tadi, kemungkinan adalah tahi bintang atau meteor.

Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Azemi Daud berkata, pihaknya tidak dapat memastikan lokasi kejadian itu kerana ianya bukan dibawah bidang tugas mereka.

"Kalau ada pun (meteor) susah untuk dikesan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, maklumat awal juga menunjukkan tiada ribut petir, lewat malam semalam.

"Boleh jadi juga, letupan itu kemungkinan terhasil daripada meteor yang terbakar ketika memasuki di ruang angkasa.

"Ini kerana meteor atau tahi bintang adalah cahaya terang yang kelihatan melintasi langit malam dengan begitu pantas dan secara tiba-tiba. Ia biasanya adalah habuk dan debu yang terbakar apabila memasuki dalam atmosfera bumi.

"Namun, meteor yang besar boleh membunuh juga dan Meteorit ialah nama serpihan batuan yang mungkin jatuh atas bumi," katanya.

Letupan pada kira-kira 11.30 malam itu dapat didengar dan dirasai penduduk sekitar daerah ini, Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran.

Sementara itu, penduduk Lojumin Galapan, 52, mendakwa melihat cahaya misteri disusuli kedengaran letupan kuat, malam tadi.

"Saya terkejut, tiba-tiba cahaya sangat terang di langit melintas sebelum mengecil dan hilang," katanya.

Lojumin berkata, cahaya terang itu melintas di langit atas rumahnya ketika dia berehat di beranda rumahnya di Kampung Marak-Parak, di Kota Marudu.

"Cahaya itu hilang. Tidak pasti ia menjunam ke bawah atau sebaliknya sebelum mengeluarkan bunyi seolah-olah letupan atau guruh tetapi tiada hujan atau petir.

"Cahaya itu kelihatan dari arah barat ke timur. Selepas itu keadaan langit kelihatan kembali seperti biasa, bunyi kuat pula kedengaran kira-kira lima hingga lapan saat," katanya ketika dihubungi NSTP.

Letupan pada 11.30 malam itu dapat didengar dan dirasai penduduk sekitar Kota Kinabalu, Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran.

Susulan kejadian itu, netizen di laman sosial mengaitkannya dengan kejadian tahi bintang dengan ada yang mendakwa sempat merakamkan pergerakan cahaya terang di langit.

Penduduk di Tuaran, Hashim Taitun, 33, berkata, dia berada di beranda rumahnya dan terkejut apabila terdengar letupan dua kali disusuli gegaran beberapa saat.

"Letupan kuat kedengaran dan rumah bergegar menyebabkan saya keluar untuk lihat apa yang berlaku. Beberapa jiran juga keluar dari rumah mengatakan ada letupan dan gegaran, namun tiada perkara buruk berlaku," katanya.

Yong Ted Phen, 49, dari Kota Kinabalu berkata, dia menyangka petir namun keadaan cuaca agak baik sebelum mendapati ramai penduduk negeri ini berkongsi kejadian itu di laman sosial.

"Ada yang mengatakan letupan itu dari meteor yang jatuh di kawasan Tuaran. Tetapi beberapa komen mengaitkan letupan itu adalah latihan kapal perang milik Amerika Syarikat yang berlabuh di perairan Kota Kinabalu," katanya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ketika dihubungi memaklumkan belum menerima sebarang laporan atau panggilan kecemasan berhubung dakwaan gegaran dan cahaya misteri berkenaan.

Sumber: Harian Metro