WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

BANJIR SARAWAK: GURU BESAR HANYA MAMPU MENITIS AIR MATA

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Selangau, Bubong Janting, 54, berkata banjir mula melanda kawasan sekitar sekolah itu, Ahad lalu


Back To Whats Hot

SELANGAU: Seorang guru besar di sini, hanya mampu menitiskan air mata apabila sekolahnya ditenggelami banjir melebihi empat meter hingga ke paras bumbung, pagi kelmarin.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Selangau, Bubong Janting, 54, berkata banjir mula melanda kawasan sekitar sekolah itu, Ahad lalu.

Katanya, hujan lebat yang berterusan menyebabkan paras air naik mendadak dan menenggelamkan sebahagian besar blok bangunan, termasuk bilik darjah.

"Banjir terlalu pantas, saya dan guru lain hanya sempat menyelamatkan dokumen penting sebelum memindahkannya ke dua lagi blok bangunan di atas bukit.

"Semua peralatan sekolah, termasuk alat bantuan mengajar dan perabot, ditenggelami air.

"Sepanjang 10 tahun bertugas di SK Nanga Selangau, inilah kejadian banjir terburuk pernah saya alami. Sekolah ini memang berisiko banjir kerana terletak berhampiran tebing sungai, namun inilah pengalaman terburuk," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Katanya, banjir turut menenggelamkan kuarters sehingga menyebabkan kerosakan pelbagai barangan peribadi, perabot rumah dan peralatan elektrik.

"Paling sedih apabila melihat sebuah pondok kecil yang dibina bersama tenaga pengajar dan murid sekolah ini, dihanyutkan arus deras banjir," katanya.

Bubong berkata, beliau dan beberapa guru lain kini mendapatkan perlindungan di blok bangunan di atas bukit, namun mereka belum merancang berpindah ke pusat pemindahan sementara.

"Bukan tidak mahu berpindah tetapi kami perlu menjaga kawasan sekolah. Inilah tanggungjawab kami untuk memantau keselamatan kawasan persekitaran dan memberi laporan kepada pejabat pendidikan daerah serta pegawai di bilik operasi banjir," katanya.

SK Nanga Selangau memiliki 14 bilik darjah dan sebuah kelas prasekolah, serta menempatkan 337 murid, 24 guru, 10 kakitangan awam dan 15 pekerja penyelenggaraan.

"Saya sudah mengarahkan agar pelajar asrama balik ke rumah masing-masing, Isnin lalu, sebagai langkah keselamatan berikutan kenaikan paras air (banjir) secara mendadak," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang, ketika ditemui, berkata SK Nanga Selangau antara sekolah disenaraikan untuk berpindah ke lokasi baharu.

"Tapak baharu untuk sekolah ini sudah dikenal pasti dan kerajaan kini dalam proses pengambilan tanah berkenaan. Proses itu mengambil masa.

"Kita berharap dengan peruntukan RM1 bilion diluluskan kerajaan, dua sekolah iaitu SK Nanga Selangau dan SK Nanga Kua, dapat diberi keutamaan untuk dipindahkan ke lokasi baharu kerana sering terjejas akibat banjir," katanya.

Sumber: Berita Harian online