LAS VEGAS - Formula Satu (F1) dijangka kembali menggunakan enjin V8 bermula musim 2030 selepas semua pihak berkepentingan mencapai persetujuan sebulat suara terhadap hala tuju baharu peraturan teknikal kejuaraan itu.
Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) memaklumkan bahawa persetujuan berkenaan dicapai bersama Pengurusan Formula 1, kesemua 11 pasukan serta pengeluar unit kuasa bagi membangunkan enjin yang lebih ringkas, ringan dan menjimatkan kos.
Menurut FIA, rangka kerja teknikal yang dicadangkan menyaksikan penggunaan enjin V8 turbo berkapasiti 2.1 liter sebagai pilihan utama, dengan teknologi hibrid yang lebih terhad serta penggunaan bahan api mampan termaju.
Langkah itu bertujuan menghasilkan jentera yang lebih ringan dan tangkas, selain mengurangkan kerumitan teknologi sedia ada serta mengembalikan tumpuan kepada kemahiran pemandu dan persaingan sengit di litar.
FIA turut menjelaskan bahawa perubahan berkenaan diharap dapat menghasilkan perlumbaan yang lebih agresif, di samping mengembalikan bunyi enjin yang menjadi antara tarikan utama F1 kepada peminat.
Rangka kerja peraturan muktamad bagi musim 2030 dijangka dibentangkan pada mesyuarat Majlis Sukan Permotoran Dunia FIA di Shanghai bulan depan.
F1 kali terakhir menggunakan enjin V8 aspirasi semula jadi dari 2006 hingga 2013 sebelum beralih kepada unit kuasa V6 turbo hibrid yang lebih kompleks dan senyap, dengan penggunaan komponen elektrik yang lebih ketara.
Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem, menyifatkan persetujuan itu sebagai pencapaian penting dalam menentukan hala tuju masa depan sukan permotoran berprestij berkenaan.
Beliau berkata, kepulangan enjin V8 membuka peluang untuk mengembalikan identiti asal F1, khususnya dari segi bunyi, emosi dan pengalaman perlumbaan yang diminati peminat di seluruh dunia.
Keputusan itu turut memenuhi hasrat sebahagian besar peminat dan pemandu yang mahukan enjin berupaya menghasilkan kuasa maksimum tanpa terlalu bergantung kepada pengurusan tenaga elektrik ketika perlumbaan.
Ketua tidak rasmi pasukan Alpine, Flavio Briatore, sebelum ini turut menyatakan sokongan terhadap cadangan berkenaan, sambil menyifatkan enjin yang ringkas dan menghasilkan bunyi lebih kuat sebagai hala tuju terbaik untuk F1.
Sementara itu, pengeluar unit kuasa ketika ini terdiri daripada Mercedes, Ferrari, Honda, Audi dan Red Bull Ford, manakala General Motors (GM) dijadual membangunkan enjin sendiri untuk pasukan Cadillac bermula 2030.
Ketua pasukan Cadillac, Dan Towriss, turut menyambut baik perkembangan itu, terutama ketika pasukannya sedang membuat persiapan untuk menjadi pengeluar unit kuasa baharu dalam kejuaraan berkenaan.
Cadillac dijadual menggunakan enjin Ferrari sehingga penghujung 2029 sebelum beralih kepada unit kuasa keluaran GM.
Towriss berkata, kemudahan pembangunan unit kuasa baharu pasukannya dijadual dibuka pada 18 Disember, sekali gus menjadikan hala tuju teknikal baharu F1 sebagai perkembangan positif buat pengeluar yang bakal menyertai sukan itu.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back