KUALA LUMPUR - Atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin terpaksa kehilangan tangan kanan selepas menjalani pembedahan selama lebih tujuh jam di Hospital Kuala Lumpur (HKL), malam tadi.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat mengesahkan perkara itu dan memaklumkan keputusan memotong tangan atlet berusia 22 tahun berkenaan dibuat atas nasihat doktor bagi menyelamatkan nyawanya.
Menurut Ayub, pasukan perubatan pada awalnya berusaha menyelamatkan tangan kanan Hafizuddin, namun terpaksa mengambil keputusan untuk memotongnya pada paras atas siku selepas keadaan itu dikenal pasti boleh mengancam nyawa atlet berkenaan.
"Udin selesai menjalani pembedahan lebih tujuh jam tadi di HKL. Doktor cuba menyelamatkan tangannya. Tetapi tangan kanannya terpaksa dipotong paras atas siku yang mungkin mengancam nyawanya," katanya ketika dihubungi.
Hafizuddin, yang mesra disapa Udin, sebelum ini dilaporkan terbabit dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), kira-kira jam 11 malam semalam.
Atlet kelahiran Perlis itu difahamkan dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil ketika insiden berkenaan berlaku.
Hafizuddin sebelum ini mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih pingat emas kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan jumlah angkatan keseluruhan 345 kilogram.
Lebih membanggakan, beliau turut mencipta rekod kebangsaan baharu dalam acara snatch menerusi angkatan 162 kilogram, selain memecahkan rekod Sukan Komanwel bagi kategori berkenaan.
Sementara itu, keluarga Hafizuddin yang berada di HKL meminta ruang diberikan kepada mereka ketika menghadapi situasi sukar itu dan menyerahkan kepada pihak sewajarnya untuk mengeluarkan sebarang kenyataan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back