LAS VEGAS - Max Verstappen mengintai kemenangan ketiga dalam tempoh empat tahun di Grand Prix (GP) Las Vegas hujung minggu ini ketika saingan merebut kedudukan kedua kejuaraan pemandu Formula Satu (F1) semakin sengit menjelang tiga perlumbaan terakhir musim ini.
Meskipun gelaran kejuaraan sudah menjadi milik Mercedes dengan Kimi Antonelli muncul juara dunia baharu, persaingan masih terbuka luas bagi merebut kedudukan terbaik di belakang pelumba Itali itu.
Verstappen, juara dunia empat kali, kini menghuni tangga kedua dengan kelebihan 17 mata berbanding pelumba Mercedes, George Russell.
Namun, kedudukan itu masih belum selamat apabila juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton dari Ferrari, hanya ketinggalan satu mata di belakang Russell.
Rakan sepasukan Hamilton, Charles Leclerc pula berada 12 mata di belakang, manakala juara dunia 2025 dari McLaren, Lando Norris, turut mengintai peluang selepas hanya dipisahkan tiga mata daripada Leclerc.
Secara keseluruhan, jurang hanya 33 mata memisahkan pelumba di kedudukan kedua hingga keenam, sekali gus menjadikan GP Las Vegas, Qatar dan Abu Dhabi medan penentuan penting dalam perebutan kedudukan akhir kejuaraan.
Verstappen hadir dengan momentum positif selepas meraih tiga kemenangan daripada lima perlumbaan terakhir selain mencatat lapan penamat podium berturut-turut.
Pelumba Belanda berusia 29 tahun itu turut mengumpul mata terbanyak berbanding pencabar lain dalam tempoh berkenaan, selain memiliki rekod cemerlang di litar jalan raya Las Vegas selepas menjuarai perlumbaan pada 2023 dan tahun lalu.
Bagaimanapun, Verstappen mengakui masih sukar untuk menjangkakan prestasi Red Bull di litar berkenaan, terutama dengan perubahan yang dibawa era baharu F1.
"Saya sendiri tidak tahu kerana Las Vegas sangat berbeza dan sukar difahami semua pasukan.
"Mungkin litar itu sedikit seperti Monza, apabila peluang memotong menggunakan bantuan aliran angin daripada kereta di hadapan memberikan kelebihan.
"Namun, suhu di sana sangat sejuk sehingga setiap kereta menunjukkan karakter berbeza. Ada kereta yang tiba-tiba berfungsi dengan sangat baik di litar seperti itu. Kita pernah menyaksikannya sebelum ini.
"Perlu saya akui, biasanya ia bukan litar terbaik buat kami, tetapi kita lihat sama ada kami mampu mendapatkan suhu operasi tayar yang sesuai. Itu kuncinya," katanya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back