KUALA LUMPUR - Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac, 55, mengumumkan berita gembira apabila selangkah lagi mendirikan rumah tangga bersama bekas Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James.
Berita pertunangan itu dikongsikan Hans menerusi satu hantaran di Instagram (IG) hari ini, yang turut memaparkan beberapa foto momen istimewa bersama wanita pilihan hatinya.
Menerusi kapsyen ringkas, Hans meluahkan rasa syukur dan kegembiraan apabila lamarannya diterima Francisca, yang turut disifatkannya sebagai keputusan terbaik dalam hidup.
"Dia beritahu, iya! Selamanya dengan insan kesayanganku. Selamanya denganmu, Kayan/Iban saya untuk menjadi isteri.
"Ini keputusan terbaik yang pernah saya buat dan dia cakap iya. Dia kini milik saya.... Tidak ada lagi, Hans bila nak kahwin?" tulisnya.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai apabila ruangan komen dibanjiri ucapan tahniah daripada rakan selebriti serta peminat yang turut meraikan perkembangan baharu dalam kehidupan peribadi pelakon berkenaan.
Berdasarkan foto yang dikongsikan, lamaran romantis itu dipercayai berlangsung di Paris, Perancis, dengan Menara Eiffel menjadi latar istimewa detik bersejarah pasangan berkenaan.
Semalam, Harian Metro melaporkan Hans memberi bayangan mengenai satu pengumuman besar menerusi siaran langsung di Instagram pada jam 12 tengah hari, hari ini.
Hans sebelum ini memaklumkan bahawa beliau berharap berita yang bakal dikongsikan akan diterima dengan gembira, selain menegaskan tidak bercadang mengadakan sidang media khas.
"Bersabar, ada satu pengumuman sangat besar akan saya buat di IG 'live' saya pada Isnin, 16 November, jam 12 tengah hari. Saya harap semua orang akan gembira untuk saya.
"Saya tidak akan buat apa-apa sidang media, sebaliknya hanya membuat satu hantaran di media sosial," katanya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back