KUALA LUMPUR - Pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid tampil menjelaskan tindakannya meninggalkan kem Harimau Malaya di China bagi pulang ke tanah air, semalam, susulan timbul persoalan dalam kalangan penyokong.
Menerusi hantaran ringkas di platform Threads, pemain Kuching City FC itu menegaskan keputusannya bukan dibuat sesuka hati, namun beliau tidak dapat mendedahkan secara terperinci sebab sebenar yang memaksanya meninggalkan kem skuad kebangsaan.
Safawi turut menegaskan komitmennya terhadap pasukan negara dengan menyatakan beliau tidak pernah menolak panggilan untuk menyarung jersi Harimau Malaya sepanjang kariernya.
"Saya bukan saja-saja tinggalkan kem Malaysia, ada benda yang boleh cerita, ada benda yang tidak boleh cerita. Setakat ini saya tidak pernah lagi tolak tawaran pasukan Malaysia jika dipanggil sepanjang karier saya.
"Sarung baju (jersi Malaysia) hitam kuning adalah kebanggaan saya," tulisnya.
Semalam, Safawi dilaporkan terpaksa meninggalkan kem Harimau Malaya selepas tiba di China pada Selasa lalu bagi menyelesaikan urusan keluarga di tanah air.
Kehilangan pemain berpengalaman itu dilihat menambah cabaran buat pengendali interim, Tan Cheng Hoe, terutama ketika skuad negara sedang membuat persiapan menghadapi China yang berada di ranking ke-96 dunia.
Safawi sebelum ini dilihat antara pilihan utama di bahagian serangan, khususnya selepas ketiadaan Arif Aiman Hanapi yang tidak dipanggil serta Faisal Halim yang mengalami kecederaan.
Situasi itu menyusul selepas Cheng Hoe turut berdepan masalah kecederaan pemain apabila enam daripada tujuh pemain Selangor yang dipanggil terpaksa menarik diri sehari sebelum skuad negara berlepas ke China.
Mereka ialah pemain tengah Nooa Laine, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Ahmad Zikri Khalili, A Selvan, Syahir Bashah dan Harith Haiqal Adam Afkar.
Sebagai langkah mengisi kekosongan itu, Cheng Hoe memanggil lima pemain tambahan iaitu Suhaimi Husin, Safwan Mazlan, Dominic Tan, Ariff Farhan Md Is dan Syafiq Ahmad.
Sebelum ini, Cheng Hoe turut mengambil keputusan untuk tidak menyenaraikan beberapa pemain utama Johor Darul Ta'zim (JDT), termasuk Bergson Da Silva, Arif Aiman, Brad Tapp, Manuel Hidalgo, Stuart Wilkin dan La'Vere Corbin-Ong bagi memberi ruang kepada kelab itu mengharungi jadual pertandingan yang padat.
Keputusan berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi penyokong memandangkan pemain terbabit antara tonggak penting ketika Harimau Malaya meraih tempat ketiga dalam Piala ASEAN Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dengan rekod tanpa kalah dan tanpa bolos.
Selain China, Harimau Malaya turut dijadualkan berdepan Yaman yang berada di ranking ke-144 dunia pada Selasa ini.
Kedua-dua perlawanan berkenaan berlangsung di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong, China.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back