• Home
  • Programme
  • Charts
  • Trending
  • Community
  • Media
  • Podcast
Listen Now
Back

WHAT’S HOT

Cristiano Ronaldo Jr Ikut Jejak Bapa, Sertai Skuad B-17 Portugal
11 November 2026 | 11:03 AM

Cristiano Ronaldo Jr Ikut Jejak Bapa, Sertai Skuad B-17 Portugal

LONDON - Cristiano Ronaldo Jr melangkah ke fasa baharu dalam perjalanan karier bola sepaknya selepas terpilih menyertai skuad bawah 17 tahun (B-17) Portugal, hanya seminggu selepas bapanya, Cristiano Ronaldo, menamatkan karier antarabangsa yang gemilang.

Anak sulung bintang Portugal itu mengasah bakat menerusi akademi kelab Arab Saudi, Al-Nassr, yang diwakili bapanya sejak 2023.

Pemilihan pemain berusia 16 tahun itu turut mencetuskan perbandingan dengan perjalanan karier bapanya, yang dianggap antara pemain terbaik dalam sejarah bola sepak dunia.

Berketinggian 1.91 meter, Ronaldo Jr sudah mengatasi ketinggian bapanya selain dilihat mewarisi naluri tajam dalam memburu jaringan. Bagaimanapun, dia masih mempunyai perjalanan panjang untuk menyamai pencapaian luar biasa bapanya.

Cristiano Ronaldo membuat penampilan sulung bersama skuad senior Portugal ketika berusia 18 tahun pada 2003 dan setakat ini merekodkan 146 gol dalam 234 penampilan antarabangsa.

Kini, Ronaldo Jr berpeluang mencipta namanya sendiri menerusi kempen kelayakan Kejohanan B-17 UEFA menentang Andorra, diikuti pertemuan dengan Bulgaria dan Serbia.

Dia bukan anak legenda bola sepak pertama yang cuba meneruskan legasi keluarga dalam sukan itu. Ada yang berdepan kesukaran untuk keluar daripada bayangan ibu bapa terkenal, manakala sebahagian lagi berjaya membina reputasi tersendiri.

Berikut antara keluarga terkenal yang mewariskan bakat bola sepak merentasi generasi.

Keluarga Maldini: Cesare, Paolo dan Daniel

Paolo Maldini dianggap antara pemain pertahanan terbaik sepanjang zaman selepas menghabiskan keseluruhan kariernya bersama AC Milan serta merekodkan lebih 100 penampilan bersama Itali.

Bapanya, Cesare Maldini, turut pernah menyarung jersi kelab gergasi Itali itu, manakala anaknya, Daniel, kini beraksi sebagai pemain tengah bersama Cagliari dan sudah sembilan kali mewakili skuad kebangsaan Itali.

Keluarga Cruyff: Johan dan Jordi

Jordi Cruyff memikul tanggungjawab besar sebagai anak kepada legenda bola sepak Belanda, Johan Cruyff.

Walaupun tidak mencapai tahap kehebatan bapanya, Jordi tetap menikmati karier yang membanggakan, termasuk beraksi bersama Barcelona ketika Johan menjadi pengendali kelab itu serta Manchester United.

Keluarga Simeone: Diego dan Giuliano

Diego Simeone pernah membuat lebih 100 penampilan bersama Argentina sebagai pemain tengah yang terkenal dengan semangat juang dan daya saing tinggi.

Dia turut pernah beraksi dalam dua tempoh bersama Atletico Madrid sebelum mengambil alih tugas sebagai pengendali kelab itu pada 2011.

Anaknya, Giuliano, turut memilih bola sepak sebagai kerjaya, mengikuti jejak dua abangnya, Giovanni dan Gianluca.

Giuliano kini beraksi sebagai penyerang Atletico Madrid dan menjadi sebahagian daripada skuad Argentina ke Piala Dunia 2026.

Keluarga Weah: George dan Timothy

George Weah merupakan antara pemain Afrika terhebat sepanjang zaman selepas memenangi anugerah Ballon d'Or pada 1995.

Bekas penyerang Liberia itu mencipta nama bersama AC Milan, termasuk beraksi sepasukan dengan Paolo Maldini.

Anaknya, Timothy Weah, yang dilahirkan di New York, kini beraksi bersama Marseille selepas menyertai kelab Perancis itu secara pinjaman daripada Juventus tahun lalu dengan kewajipan pembelian.

Dia juga sudah menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan Amerika Syarikat sejak 2018.

Keluarga Haaland: Alf-Inge dan Erling

Alf-Inge Haaland merupakan bekas pemain tengah Norway yang pernah beraksi bersama Nottingham Forest, Leeds United dan Manchester City.

Bagaimanapun, anaknya, Erling Haaland, berjaya melangkaui pencapaian bapanya apabila muncul antara penyerang paling berbisa di dunia.

Sejak menyertai Manchester City dari Borussia Dortmund pada 2022, Erling sudah membantu kelab itu meraih dua gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dia turut mencatatkan rekod 121 gol dalam 142 penampilan EPL bersama City.

Keluarga Schmeichel: Peter dan Kasper

Peter Schmeichel dianggap antara penjaga gol terbaik dalam sejarah Manchester United selepas membantu kelab itu memenangi lima gelaran EPL.

Dia turut memainkan peranan penting ketika Denmark mengejutkan dunia dengan menjuarai Kejohanan Eropah 1992.

Anaknya, Kasper Schmeichel, turut mengukuhkan nama keluarga itu sebagai penjaga gol utama Denmark.

Antara pencapaian terbesar Kasper ialah membantu Leicester City mencipta kejutan dengan menjuarai EPL pada 2016.

Keluarga Thuram: Lilian dan Marcus

Lilian Thuram merupakan tonggak penting skuad Perancis yang menjulang trofi Piala Dunia 1998.

Anaknya, Marcus Thuram, pula membina reputasi sebagai penyerang berkualiti selepas mencipta nama bersama Borussia Monchengladbach sebelum menyertai Inter Milan.

Marcus turut menjadi sebahagian daripada skuad Perancis yang beraksi pada Piala Dunia 2022 dan 2026, sekali gus meneruskan legasi keluarga Thuram di pentas bola sepak antarabangsa.

Sumber: Berita Harian

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini 

DOWNLOAD OUR FREE APP NOW!

  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!

GET CONNECTED WITH US

I would love to receive more updates from Cats FM!

THE COMPANY

  • About Us
  • Advertise With US
  • Career With Us
  • Contact Us
  • General T & C

STATION

  • Programs
  • Contest
  • CATS Rangers

TRENDING

  • What’s Hot?
  • Artist of the month

CHARTS

  • CATS 30
  • CATS Prebiu
  • Lagu Tebilang CATS

MEDIA

  • Photo Gallery
  • Video Gallery
  • Podcast

COMMUNITY

  • Waktu Solat
  • CATS Activity

© Cats FM 2026

Social Media :

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter / X
  • TikTok