KUCHING - Kuching City FC mencipta kejayaan membanggakan apabila menempah tiket ke final Piala FA selepas menewaskan Selangor FC 2-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Taha Ariffin, malam ini.
Kemenangan itu membolehkan skuad The Cats mara dengan agregat 3-2, sekali gus bakal berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan akhir.
Beraksi di laman sendiri, Kuching City memulakan perlawanan dengan intensiti tinggi menerusi pendekatan tekanan tinggi serta serangan bertali arus bagi memburu gol awal.
Tuan rumah menguasai sebahagian besar permainan dengan kawalan kemas di bahagian tengah, manakala Selangor lebih banyak bergantung kepada serangan balas pantas yang berjaya dikekang benteng pertahanan The Cats.
Bagaimanapun, kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan dan terikat tanpa jaringan sehingga tamat babak pertama.
Memasuki separuh masa kedua, Kuching City memperoleh peluang terbaik apabila dihadiahkan sepakan penalti susulan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang mengesahkan kekasaran terhadap Jerome Etame.
Penyerang kebangsaan, Safawi Rasid tidak mensia-siakan peluang apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-56 untuk meletakkan Kuching City di hadapan 1-0.
Jaringan itu menyamakan kedudukan agregat kepada 2-2, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol tambahan bagi mengesahkan tempat ke final.
Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat 90 minit permainan, memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.
Ketika aksi seakan-akan menuju ke penentuan sepakan penalti, Kuching City akhirnya memperoleh gol kedua pada penghujung masa tambahan menerusi jaringan sendiri pemain Selangor, Mukhairi Ajmal.
Gol tersebut mengesahkan kemenangan 2-0 buat The Cats pada malam ini, sekali gus melengkapkan agregat 3-2 untuk memastikan kemaraan bersejarah mereka ke final Piala FA.
Kuching City kini bakal berdepan cabaran getir apabila dijadualkan bertemu JDT dalam perebutan trofi Piala FA.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back