MANCHESTER - Kapten Manchester United, Bruno Fernandes berharap kemenangan dramatik 3-2 ke atas Roma dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) di Old Trafford, awal pagi tadi, menjadi titik kebangkitan pasukan itu selepas melalui prestasi mengecewakan musim ini.
Fernandes turut menafikan dakwaan mengenai keretakan hubungannya dengan pengurus, Michael Carrick, susulan beberapa keputusan taktikal dan pemilihan pemain yang mencetuskan spekulasi dalam media.
United sebelum itu hampir melanjutkan rekod tanpa kemenangan kepada sembilan perlawanan selepas mempamerkan aksi hambar pada separuh masa pertama, sebelum bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk mencatat kemenangan.
Fernandes memainkan peranan penting dalam kebangkitan itu apabila menyempurnakan sepakan penalti pada percubaan kedua selepas percubaan pertamanya diselamatkan, namun pengadil mengarahkan sepakan diulang susulan kesalahan pemain pertahanan Roma yang memasuki kawasan penalti terlalu awal.
Matheus Cunha kemudian muncul wira apabila meledak dua gol dalam tempoh 10 minit terakhir untuk memastikan kemenangan United, sekali gus menghidupkan kembali peluang mereka dalam kempen UCL selepas kekalahan kepada Atletico Madrid dan Como.
Fernandes berkata, kemenangan itu diharap dapat menjadi permulaan kepada perubahan positif buat kelab yang kini berdepan tekanan susulan prestasi tidak konsisten.
Beliau mengakui memahami kekecewaan penyokong yang sudah terbiasa melihat United mencatat kemenangan dan menjulang trofi.
"Peminat mahu melihat pasukan memenangi perlawanan. Mereka sudah terbiasa melihat kelab ini menjulang trofi dan memenangi perlawanan setiap minggu. Jadi, situasi yang dialami kelab ketika ini amat mengecewakan mereka.
"Namun, saya mahu semua orang sedar bahawa kami juga kecewa dengan keadaan ini. Kami mahu keluar daripada situasi berkenaan dan berharap kemenangan hari ini menjadi permulaan kepada sesuatu yang lebih baik," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fernandes turut menjelaskan bahawa hubungannya dengan Carrick tidak terjejas meskipun sebelum ini beliau mengkritik pendekatan taktikal pengurus itu selepas kekalahan 1-4 kepada Como.
Pemain tengah Portugal itu kemudian digugurkan daripada kesebelasan utama ketika United tewas 0-3 kepada Bournemouth di laman sendiri.
Beliau kembali mendapat tempat dalam kesebelasan utama ketika menentang Chelsea pada Sabtu lalu, namun United sekali lagi tewas 0-2 dan kini hanya berada di atas zon penyingkiran berdasarkan perbezaan jaringan.
Fernandes berkata, pelbagai spekulasi mengenai hubungannya dengan Carrick tidak menggambarkan keadaan sebenar dalam pasukan.
"Situasi ini sukar. Terdapat banyak spekulasi dalam media dan dakwaan tidak benar mengenai pelbagai perkara yang berlaku di kelab ini antara saya dengan pengurus.
"Pengurus membuat keputusan untuk meletakkan saya di bangku simpanan kerana prestasi saya tidak memuaskan. Itu sesuatu yang adil. Semua orang menganggap tindakan itu sebagai hukuman susulan kenyataan yang saya keluarkan dan jika benar begitu, keputusan itu memang wajar.
"Pengurus berhak membuat keputusan dan saya perlu menerimanya.
"Saya perlu terus melangkah ke hadapan dan perkara itu tidak mengubah kepercayaan saya terhadap pengurus, barisan kejurulatihan serta setiap pemain yang berada di kelab ini," katanya.
Ketika ditanya sama ada kemenangan ke atas Roma mampu menjadi titik perubahan musim United, Fernandes memberikan jawapan ringkas namun penuh harapan: "Ia sepatutnya begitu."
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back