PARIS - Pasukan Haas mengambil keputusan mengejut menamatkan kerjasama dengan pemandu Perancis, Esteban Ocon, sekali gus menutup perjalanan kariernya dalam Formula Satu (F1) selepas mengharungi 198 perlumbaan Grand Prix (GP).
Keputusan itu diumumkan pasukan berpangkalan di Amerika Syarikat berkenaan, menyaksikan Ocon tidak lagi akan bersama Haas bagi baki saingan musim ini.
Sebelum ini, Ocon turut diketepikan daripada GP Mexico minggu lalu apabila tempatnya digantikan pemandu Jepun, Ryo Hirakawa, meskipun sempat menyertai kedua-dua sesi latihan bebas pada Jumaat.
Ketua pasukan Haas, Ayao Komatsu berkata, keputusan untuk menamatkan kerjasama dengan Ocon bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya selepas mengambil kira kepentingan pasukan untuk terus bergerak ke hadapan.
"Keputusan seperti ini tidak pernah dibuat dengan mudah. Seperti yang berlaku di Mexico City, kami percaya langkah ini adalah demi kepentingan terbaik pasukan untuk bergerak ke hadapan.
"Perbincangan yang akhirnya membawa kepada keputusan antara pasukan dan Esteban kekal sebagai urusan dalaman," katanya menerusi platform X.
Perkembangan itu hadir selepas timbul laporan mendakwa berlaku pertelingkahan fizikal antara Komatsu dan Ocon di Mexico susulan perselisihan faham berhubung pemilihan tayar.
Bagaimanapun, Ocon sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan.
Haas bulan lalu mengumumkan bahawa Ocon akan digantikan pemandu Brazil, Rafael Camara, bagi menghadapi musim depan.
Komatsu turut mengesahkan Camara bakal membuat penampilan sulung dalam F1 apabila bergandingan dengan Ollie Bearman pada GP Sao Paulo hujung minggu ini.
"Kami memilih Rafael Camara untuk memandu bersama Ollie Bearman di Grand Prix Sao Paulo.
"Kami tidak sabar untuk menyambut kehadirannya dalam pasukan hujung minggu ini dan bekerjasama dengannya bagi menghadapi penampilan sulung dalam Formula Satu menerusi jentera VF-26," katanya.
Selepas GP Sao Paulo, saingan F1 musim ini bakal diteruskan dengan tiga lagi pusingan iaitu GP Las Vegas, Qatar dan Abu Dhabi.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back