LONDON - George Russell mengakui musim 2026 menjadi antara tempoh paling sukar dalam kariernya apabila gagal menyaingi prestasi rakan sepasukan Mercedes, Kimi Antonelli yang muncul juara dunia Formula Satu (F1) termuda dalam sejarah.
Pemandu Britain itu membuat pengakuan berkenaan menerusi satu hantaran di media sosial, awal pagi tadi, selain menyampaikan ucapan tahniah kepada Antonelli atas kejayaan merangkul gelaran dunia.
Russell sebelum ini dikecualikan daripada tugasan media selepas Grand Prix (GP) Mexico City, Ahad lalu, susulan kekecewaan terhadap prestasinya dalam perlumbaan berkenaan.
Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff, turut mengakui pasukan itu mengecewakan Russell selepas jentera dipandunya mengalami kehilangan kelajuan ketika perlumbaan, sekali gus menyaksikan pelumba berkenaan yang bermula dari barisan hadapan terpaksa berpuas hati di tempat keenam.
Russell berkata musim ini bermula dengan cukup positif seperti yang diharapkan, namun nasib malang dan prestasi tidak konsisten menyebabkan perjalanan kempen 2026 berubah secara mendadak.
"Ini musim pertama dalam karier saya yang benar-benar menyaksikan lebih banyak hari buruk berbanding hari menggembirakan.
"Adakah sukar untuk menghadapinya? Ya, sangat sukar. Adakah sukar untuk bangkit setiap minggu? Ya, juga sangat sukar.
"Ada kalanya saya keliru? Kerap kali. Apa yang saya tahu, saya sudah memberikan segala-galanya dan 2026 sememangnya bukan tahun untuk saya," katanya.
Russell memulakan musim sebagai antara calon pilihan untuk merebut kejuaraan dunia berdasarkan pengalaman serta rekod kemenangannya yang lebih baik berbanding Antonelli, yang baru memasuki musim kedua bersama Mercedes.
Bagaimanapun, Antonelli yang kini berusia 20 tahun membuktikan kemampuannya apabila meraih sembilan kemenangan berbanding tiga kemenangan Russell, sekali gus mengesahkan kejuaraan dunia dengan berbaki empat perlumbaan.
Kejayaan itu turut menyaksikan Antonelli muncul juara dunia pertama dari Itali dalam tempoh 73 tahun.
Mengulas kejayaan rakan sepasukannya itu, Russell tidak lokek memberikan pujian dan mengakui Antonelli sememangnya layak merangkul gelaran berprestij berkenaan.
"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kimi atas musim yang luar biasa. Anda sememangnya layak bergelar juara.
"Buat masa ini, apa yang boleh saya janjikan ialah saya akan memberikan segala-galanya sepanjang baki musim ini dan musim depan untuk mendapatkan semula prestasi yang pernah saya tunjukkan sepanjang sebahagian besar karier.
"Saya juga berharap sedikit tuah akan kembali menyebelahi saya," katanya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back