MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Michael Carrick terus diberi peluang untuk membimbing pasukan itu meskipun berdepan tekanan hebat susulan prestasi hambar apabila gagal mencatat kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir.
Keputusan pengurusan tertinggi kelab untuk mengekalkan Carrick bagaimanapun dipercayai bukan didorong keyakinan sepenuhnya terhadap kemampuannya memulihkan prestasi pasukan, sebaliknya berpunca daripada ketiadaan calon pengganti yang dipersetujui dan dianggap sesuai.
Sumber dalaman kelab mendedahkan Carrick perlu memanfaatkan peluang berkenaan untuk mengubah situasi semasa serta membuktikan kemampuannya sebagai pengurus bagi mengembalikan Manchester United ke landasan kemenangan.
“Michael dan pemain kelab ini akan memperoleh peluang kedua untuk mengubah keadaan semasa. Semua orang fokus untuk menghadapi perlawanan seterusnya dan cuba memberikan reaksi di atas padang,” katanya.
Selain faktor calon pengganti, aspek kewangan turut dipercayai mempengaruhi keputusan pengurusan United untuk mengekalkan Carrick.
Kelab itu dilaporkan tidak bersedia menanggung kos pampasan bagi menamatkan kontrak pengendali berkenaan, selain perlu menyediakan perbelanjaan lebih besar untuk mendapatkan khidmat pengurus baharu, terutama jika calon pilihan masih terikat kontrak dengan kelab lain.
Situasi itu berbeza dengan kejayaan Carrick pada separuh kedua musim lalu apabila beliau membantu United bangkit selepas pemecatan Ruben Amorim, sekali gus menamatkan saingan liga di tempat ketiga dan melayakkan pasukan itu ke Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun, kekalahan besar 1-4 kepada Como sebelum tewas 0-3 kepada Bournemouth di Old Trafford menyaksikan kedudukan Carrick semakin tertekan.
Kini, pengendali itu berdepan satu lagi ujian getir apabila United dijadual bertandang ke Stamford Bridge untuk menentang Chelsea pada Sabtu ini.
Perlawanan itu bakal menjadi peluang penting buat Carrick dan anak buahnya untuk membuktikan bahawa mereka masih mampu bangkit daripada kemerosotan prestasi yang melanda pasukan.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back