FLEETWOOD - Arsenal mengalami kejutan besar apabila tersingkir daripada Piala Liga selepas tewas kepada pasukan divisyen keempat, Fleetwood, menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi pusingan keempat, awal pagi tadi.
Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tewas 3-5 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 90 minit permainan di Stadium Highbury.
Penjaga gol Fleetwood, Jay Lynch, muncul wira pasukan tuan rumah apabila menyelamatkan sepakan Bruno Guimaraes sebelum Conor Haughey menyempurnakan sepakan penentuan untuk mencipta kemenangan bersejarah buat kelab itu.
Fleetwood terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Aaron Loupalo-Bi pada minit ke-21 selepas memanfaatkan kesilapan pemain muda Arsenal, Marli Salmon.
Bagaimanapun, Arsenal bangkit menyamakan kedudukan lima minit selepas babak kedua bermula menerusi Viktor Gyokeres yang menyudahkan hantaran O'Neill dari jarak dekat.
Harapan Arsenal untuk mengelak kekalahan semakin sukar apabila pemain berusia 16 tahun, Max Dowman, dilayangkan kad merah pada minit ke-85 selepas menendang Harrison Neal susulan satu terjahan pemain tengah Fleetwood itu.
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta, turut menerima kritikan selepas merehatkan beberapa pemain utama dengan melakukan sembilan perubahan dalam kesebelasan utama bagi menghadapi jadual padat, termasuk pertemuan EPL menentang Liverpool, Ahad ini.
Keputusan itu akhirnya memakan diri apabila Arsenal gagal memanfaatkan penguasaan permainan untuk menewaskan lawan yang beraksi dalam Liga Dua, divisyen keempat bola sepak England.
Kekalahan itu turut menamatkan rentak cemerlang Arsenal yang memenangi 11 daripada 13 perlawanan terdahulu. Mereka sebelum ini berkongsi mata dengan pendahulu EPL, Manchester City, selepas menewaskan Everton 2-0, Sabtu lalu.
Arsenal sebenarnya bukan asing dengan kejutan dalam kejohanan piala domestik. Pada 2012, skuad kendalian Arsene Wenger turut disingkirkan Bradford, yang ketika itu beraksi dalam divisyen keempat, menerusi penentuan penalti dalam Piala Liga.
Skuad Arteta juga tersingkir di tangan Southampton dalam Piala FA musim lalu, selain tewas kepada Nottingham Forest pada 2022 ketika kelab itu masih beraksi dalam divisyen kedua.
Namun, kekalahan kepada Fleetwood dianggap lebih mengejutkan berikutan perbezaan besar dari segi reputasi dan kedudukan antara kedua-dua kelab.
Fleetwood yang dikenali dengan gelaran 'Cod Army', merujuk kepada industri perikanan di bandar berkenaan, memulakan perlawanan tanpa menunjukkan rasa gentar meskipun menghuni tangga ke-18 Liga Dua dan tewas dalam dua aksi liga terakhir menentang Exeter serta Cheltenham.
Perlawanan itu turut bermula lewat lapan minit susulan kehadiran dron tanpa kebenaran yang terbang di atas stadium, sebelum Fleetwood mencipta kejutan di hadapan penyokong sendiri dalam suasana malam berangin berhampiran Laut Ireland.
Lebih menarik, Stadium Highbury milik Fleetwood berkongsi nama dengan gelanggang lama Arsenal sebelum kelab London itu berpindah ke Stadium Emirates pada 2006.
Stadium berkapasiti 5,327 penonton itu menjadi saksi detik bersejarah buat Fleetwood apabila pengurusnya, Matt Lawlor, tidak dapat menahan air mata kegembiraan ketika penyokong membanjiri padang untuk meraikan kemenangan berkenaan.
Bagi Arsenal, kekalahan itu menjadi tamparan hebat buat Arteta yang kini perlu mengalihkan perhatian kepada aksi EPL menentang Liverpool, dengan harapan pasukannya mampu segera bangkit daripada kekecewaan tersebut.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back