LONDON - Manchester United memutuskan untuk mengekalkan Michael Carrick sebagai pengurus pasukan selepas pihak pengurusan gagal mengenal pasti calon pengganti yang diyakini mampu memulihkan prestasi kelab itu.
Keputusan berkenaan menyaksikan pemilik bersama United, INEOS, mengubah pendirian untuk tidak memecat Carrick meskipun pasukan itu gagal mencatat kemenangan dalam lapan perlawanan dan kini menghuni tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris (EPL).
Carrick sebelum ini dipanggil menghadiri perbincangan krisis di pusat latihan Carrington, kelmarin, susulan kekalahan 0-3 kepada Bournemouth di Old Trafford pada Ahad lalu.
Bagaimanapun, selepas menilai beberapa pilihan untuk mengisi jawatan berkenaan, pihak pengurusan akhirnya memutuskan untuk memberi peluang kepada Carrick memperbaiki prestasi pasukan.
Pengendali itu sekurang-kurangnya akan terus membimbing United ketika berkunjung ke Stamford Bridge untuk menentang Chelsea, Sabtu ini.
Carrick juga sudah mengendalikan sesi latihan semalam selepas pemain diberikan cuti sehari seperti biasa.
Eddie Howe dan Julian Nagelsmann sebelum ini dilaporkan muncul sebagai calon utama untuk menggantikan Carrick, dengan kekalahan kepada Bournemouth dilihat berpotensi menamatkan khidmatnya.
Namun, sumber memberitahu The Sun bahawa calon yang sesuai masih belum dikenal pasti.
“Calon terbaik belum datang,” menurut sumber berkenaan.
Howe pernah membantu Newcastle United menjulang Piala Liga Inggeris selain membimbing kelab itu layak ke Liga Juara-Juara sebanyak dua kali.
Bagaimanapun, beliau dilaporkan mengalami keletihan sebelum meninggalkan Newcastle pada penghujung musim lalu dan setakat ini belum menerima tawaran untuk mengendalikan kelab lain.
Nagelsmann pula pernah membina reputasi sebagai antara jurulatih yang mendapat perhatian di Jerman sebelum mengendalikan Bayern Munich dan kemudian dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan negara itu.
Selain kedua-dua calon berkenaan, bekas pengendali Chelsea dan Tottenham Hotspur, Antonio Conte, turut dikaitkan dengan jawatan itu. Namun, pendekatannya yang lantang dan bersifat konfrontasi dikatakan berpotensi menyukarkan beliau mendapat sokongan pihak pembuat keputusan INEOS.
Pengurus Brighton, Fabian Hurzeler, dan pengendali Aston Villa, Unai Emery, turut berada dalam senarai calon berpotensi, tetapi kedua-duanya dilaporkan tidak bersedia meninggalkan kelab masing-masing ketika musim masih berlangsung.
Menurut laporan Chronicle Live, United juga berkemungkinan perlu membayar pampasan antara £3 juta (RM16 juta) hingga £6 juta (RM32 juta) kepada Newcastle sekiranya mahu mendapatkan khidmat Howe, walaupun jurulatih itu meninggalkan kelab berkenaan pada Julai lalu.
Sementara itu, Carrick menegaskan bahawa beliau tidak mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong United selepas kekalahan kepada Bournemouth, meskipun namanya dilaungkan ketika beliau meninggalkan padang.
“Ia bukan perpisahan daripada saya. Saya mempunyai perasaan bercampur-baur dan bersimpati dengan pemain kerana mereka sedang melalui tempoh sukar.
“Ada perkara yang boleh kami perbaiki, tetapi ada juga keadaan yang berkembang di luar jangkaan dan pemain sedang merasai kesannya ketika ini.
“Hubungan dengan penyokong amat bermakna dan saya memerlukan sedikit masa untuk menghadam semuanya, tetapi saya benar-benar menghargai sokongan mereka.
“Situasi kami sekarang memang begini dan keputusan serta prestasi yang dipamerkan tidak cukup baik,” katanya kepada Sky Sports.
Selepas kunjungan ke Stamford Bridge hujung minggu ini, United bakal mengharungi dua perlawanan di laman sendiri menentang Roma dan Aston Villa sebelum bertandang ke Anfield untuk berdepan Liverpool.
Jadual mencabar itu bakal menjadi ujian penting buat Carrick dalam usaha memperbaiki prestasi United serta membuktikan bahawa beliau masih individu yang tepat untuk memimpin pasukan berkenaan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back