KUALA LUMPUR, 23 Okt - Gandingan beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah dan dua pasangan beregu lelaki melangkah ke suku akhir Terbuka Perancis 2026 selepas melepasi halangan masing-masing pada pusingan 16, awal pagi tadi.
Dalam acara beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mempamerkan aksi cemerlang apabila mengejutkan pilihan kelapan dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, menerusi kemenangan dua set 25-23, 21-14.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan beregu negara itu akan bertemu satu lagi rakan sepasukan iaitu gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Turut mara ke pusingan lapan terbaik ialah pasangan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard, 21-6, 14-21, 21-18 selepas bangkit dalam set penentuan.
Cabaran getir menanti Sze Fei-Nur Izzuddin pada suku akhir apabila mereka dijadualkan menentang pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won-ho-Seo Seung-jae yang menewaskan mereka dalam empat daripada enam pertemuan sebelum ini.
Pasangan Korea Selatan itu sebelum ini menyekat kemaraan pasangan muda Malaysia, Aaron Tai-Yap Roy King, menerusi kemenangan dua set 21-14, 21-16.
Sementara itu, dalam acara beregu wanita, Pearly-Thinaah terpaksa menangkis cabaran sengit rakan senegara yang lebih muda, Ong Xin Yee-Carmen Ting, sebelum mencatat kemenangan 21-14, 22-20.
Pearly-Thinaah seterusnya akan menentang pasangan Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva, bagi merebut tempat ke separuh akhir.
Sumber: BERNAMA
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back