LONDON - Legenda Manchester United, Wayne Rooney menyifatkan pemain kelab itu sebagai pentingkan diri dan berkelakuan seperti kanak-kanak susulan kekalahan memalukan 1-4 kepada Como dalam aksi Liga Juara-Juara, semalam.
Rooney melontarkan kritikan itu selepas kapten pasukan, Bruno Fernandes, mempersoalkan pendekatan taktikal barisan kejurulatihan dan mendakwa United gagal memberikan tekanan secukupnya, selain mempamerkan “mentaliti kekalahan” selepas dibolosi seawal minit kedua.
Kekalahan tersebut menambah tekanan terhadap pengurus, Michael Carrick, dengan United hanya mampu menjaringkan gol saguhati menerusi Joshua Zirkzee pada masa kecederaan.
Menurut Rooney, kenyataan terbuka pemain terhadap pengurusan kelab berisiko mencetuskan perpecahan dalam bilik persalinan, terutama selepas pertahanan Lisandro Martinez turut mengkritik pengurusan tertinggi United awal bulan ini.
Martinez sebelum ini mempersoalkan tahap pelaburan kelab selepas kekalahan 0-2 kepada Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara, dengan menegaskan United perlu berbelanja lebih besar untuk bersaing pada tahap tertinggi.
“Apabila Martinez bersuara, saya sudah mengatakan ini satu mimpi ngeri kerana ia boleh memecahbelahkan bilik persalinan. Itulah permulaannya.
“Sekarang kita melihat perkara sama dengan Bruno dan lebih ramai pemain akan berbuat demikian kerana mereka tidak mahu memikul tanggungjawab,” kata Rooney menerusi audio siar United Stand, semalam.
Bekas penyerang England itu menegaskan, sama ada kritikan Fernandes terhadap taktikal pasukan berasas atau sebaliknya, pemain tetap perlu bertanggungjawab terhadap prestasi mereka di atas padang.
“Anda perlu bertanggungjawab sebagai satu kumpulan pemain. Mereka ini pentingkan diri. Mereka tidak peduli rakan sepasukan, pengurus, barisan kejurulatihan atau penyokong. Mereka hanya peduli tentang diri sendiri.
“Jika mereka tidak mendapat apa yang mereka mahu, mereka berkelakuan seperti budak-budak, mengamuk dan menyalahkan orang lain, bukannya diri sendiri,” katanya.
Carrick, yang pernah beraksi bersama Rooney di Old Trafford, dilantik sebagai pengendali sementara selepas Ruben Amorim dipecat pada Januari sebelum diberikan kontrak sehingga 2028 susulan peningkatan prestasi pasukan.
Bagaimanapun, kedudukan Carrick kini semakin tertekan apabila United gagal mencatat kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir merentasi semua kejohanan.
Lebih membimbangkan, United kini menduduki tangga ke-20 dalam saingan Liga Juara-Juara dan ke-13 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus meningkatkan persoalan mengenai keupayaan pasukan itu untuk kembali ke landasan kemenangan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back