COMO - Manchester United terus bergelut mencari rentak apabila dibelasah 1-4 oleh Como dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pengurusnya, Michael Carrick.
Dua jaringan Nico Paz menjadi pemangkin kemenangan bergaya kelab Itali itu, manakala Tasos Douvikas dan Jacobo Ramon turut mencetak nama sebagai penjaring untuk melengkapkan malam gemilang buat skuad kendalian Cesc Fabregas.
Jaringan lewat Joshua Zirkzee gagal mengubah nasib United apabila kekalahan itu menyaksikan kemarau kemenangan mereka berlarutan kepada tujuh perlawanan dalam semua pertandingan.
Carrick kini berdepan tekanan hebat susulan prestasi hambar pasukannya yang melalui enam perlawanan tanpa kemenangan, dengan tiga keputusan seri dan tiga kekalahan, sekali gus mencatat permulaan terburuk kempen liga dalam tempoh 40 tahun.
Sebaliknya, Como mempamerkan aksi meyakinkan untuk menundukkan juara Eropah tiga kali itu, sekali gus melakar antara kemenangan terbesar dalam sejarah kelab berkenaan.
Paz membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi penyudah kaki kiri sebelum Douvikas menggandakan kelebihan tuan rumah, tiga minit selepas babak kedua bermula.
Pemain Argentina itu kemudian mengambil kesempatan daripada kesilapan Carlos Baleba untuk melebarkan jurang kepada 3-0 pada minit ke-57.
Ramon melengkapkan pesta gol Como menerusi tandukan berbaki 14 minit sebelum tamat perlawanan, manakala United gagal memberikan tindak balas bermakna meskipun Carrick melakukan dua pertukaran pada separuh masa.
Masalah pertahanan turut terus menghantui United apabila mereka hanya merekodkan satu perlawanan tanpa bolos dalam 11 aksi semua pertandingan musim ini.
Kemenangan kedua dalam fasa liga itu menyaksikan Como mengumpul enam mata, manakala United terus bergelut untuk kembali ke landasan kemenangan ketika kedudukan Carrick semakin mendapat perhatian.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back