KUALA LUMPUR - Hasrat petarung kelahiran Sarawak, Rifdean Masdor, untuk mencipta kejutan di pentas ONE Championship tidak kesampaian apabila tewas kepada bintang Jepun, Yoshinari Nadaka, menerusi hentian pengadil pada pusingan kedua di Ariake Arena, Tokyo, hari ini.
Kekalahan itu hadir selepas Rifdean terlepas peluang memburu gelaran dunia ONE Championship apabila gagal dalam ujian hidrasi, semalam, meskipun memenuhi had berat 115 paun (52.16 kilogram).
Pertarungan dalam acara ONE Samurai 4 itu kemudian diteruskan pada berat 118.6 paun (53.8 kilogram), dengan Rifdean perlu menyerahkan 50 peratus wang pertarungannya kepada Nadaka, juara dunia Muay Thai atomweight ONE.
Rifdean memulakan pertarungan dengan agresif pada pusingan pertama sehingga Nadaka mengakui hidungnya patah akibat serangan petarung Malaysia itu.
“Untuk pertarungan ini, saya mengalami kecederaan. Pada pusingan pertama, hidung saya patah,” kata Nadaka dalam temu bual selepas pertarungan.
Bagaimanapun, Nadaka membalas dengan menjatuhkan Rifdean menerusi tumbukan kiri pada pusingan pertama, namun petarung Malaysia itu bangkit untuk meneruskan pertarungan.
Memasuki pusingan kedua, Rifdean terus mencari peluang untuk melancarkan serangan sebelum Nadaka membaca pergerakannya ketika dia cuba memusingkan badan.
Nadaka kemudian melepaskan tendangan tepat ke kepala yang mengenai dagu Rifdean, menyebabkan petarung Malaysia itu terjatuh dan gagal bangkit semula.
Pengadil, Olivier Coste, akhirnya menghentikan pertarungan pada minit kedua 12 saat pusingan kedua bagi mengesahkan kemenangan Nadaka.
Selepas pertarungan, Nadaka turut memberikan penghormatan kepada Rifdean dengan mengakui lawannya itu berdepan pelbagai kesukaran sebelum memasuki gelanggang.
Beliau turut menyuarakan kemungkinan isu berkaitan berat badan menjejaskan tahap kecergasan Rifdean, selain berterima kasih kepada petarung Malaysia itu kerana memberikan saingan sengit.
“Semua, sila berikan tepukan gemuruh untuk Rifdean juga,” katanya.
Kemenangan itu membolehkan Nadaka membawa pulang bonus prestasi bernilai 15 juta yen (RM388,000), yang disifatkannya sebagai bonus pertama sejak menyertai ONE Championship.
“Ini bonus pertama saya. Saya sangat gembira kerana kami mendapat sokongan daripada anda semua,” katanya.
Sementara itu, kekecewaan Malaysia berterusan dalam ONE Samurai 4 apabila Hayatun Najihin “Shadowcat” Radzuan turut tewas kepada wakil Jepun, Itsuki Hirata, menerusi keputusan sebulat suara dalam pertarungan seni bela diri campuran (MMA) wanita kategori atomweight.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back