KUCHING, 15 Okt - Dua kawasan di Sarawak, iaitu Samarahan dan Serian, merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 8 pagi ini susulan peningkatan semula jerebu berbanding petang semalam.
Berdasarkan bacaan stesen pemantauan kualiti udara, Samarahan mencatatkan IPU tertinggi iaitu 153, manakala Serian (MCAQM) merekodkan bacaan 120.
Sehubungan itu, semua sekolah di kawasan terjejas diarahkan menghentikan sebarang aktiviti luar bilik darjah selaras dengan arahan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
Arahan berkenaan dikeluarkan susulan sesi persekolahan yang kembali beroperasi hari ini bagi mengurangkan pendedahan murid kepada pencemaran udara.
Orang ramai, khususnya penduduk di Samarahan dan Serian, dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga serta mengehadkan aktiviti luar bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat jerebu.
Sumber: NREB Sarawak
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back