KUALA LUMPUR - Niat pengacara dan pelakon, Ain Edruce, membuat kejutan buat suaminya dengan menghadiahkan tiket perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Bahrain bertukar pengalaman pahit apabila dia mendakwa membayar RM8,000 untuk dua tiket yang didakwa boleh diperoleh pada harga jauh lebih rendah.
Ain atau nama sebenarnya, Nurul Ain Edruce, 35, berkata, dia hanya menyedari harga tiket yang dibelinya itu terlalu mahal selepas tiba di lokasi perlumbaan berkenaan.
Menurutnya, dia membuat pembelian tanpa membandingkan harga terlebih dahulu kerana kurang arif mengenai sukan permotoran, selain mahu memberikan kejutan istimewa buat suaminya, Amirul.
“Saya kena scam, tetapi saya dapat tiket itu. Cuma harganya melampau. Orang lain beli tiket itu pada harga RM2,000 seorang, tetapi saya bayar RM8,000.
“Saya kononnya nak buat kejutan untuk suami kerana saya sendiri tidak tahu mengenai sukan permotoran ini. Jadi, saya buka saja satu laman web dan terus beli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media dan pelancaran Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 X Cuckootopia di Ballroom, Hyatt Regency Kuala Lumpur, malam tadi.
Berkongsi pengalaman itu, Ain berkata, dia pada mulanya berasa gembira kerana berjaya mendapatkan tiket berkenaan, namun perasaannya berubah selepas mengetahui orang lain membelinya pada harga lebih rendah.
Malah, dia mengakui terfikir untuk menjual semula tiket itu ketika melihat orang ramai beratur panjang untuk menaiki bas ulang-alik, tetapi bimbang tiada pembeli sanggup membayar harga RM8,000.
“Ketika melihat orang beratur panjang untuk menaiki bas ulang-alik, saya terfikir juga nak jual tiket itu. Tetapi siapa nak beli pada harga RM8,000? Akhirnya, saya dan suami pergi juga.
“Apabila orang menegur dan bertanya kenapa kami duduk di situ, barulah saya tahu harga tiket yang dibeli itu memang melampau,” katanya.
Ain menjelaskan, dia pada awalnya menyangka harga RM8,000 itu munasabah kerana membayangkan bakal menikmati tempat duduk yang selesa dan setimpal dengan wang yang dibelanjakan.
Bagaimanapun, dia terkejut apabila mengetahui tiket berkenaan sebenarnya boleh dibeli pada harga sekitar RM2,000 untuk tempoh tiga hari, sedangkan tiket yang dibelinya itu hanya untuk sehari.
“Saya tengok harga RM8,000 itu rasanya tidaklah mahal sangat, tetapi tidak murah juga. Saya bayangkan tempat duduk yang berbaloi, jadi saya belilah.
“Disebabkan tidak mengikuti F1, kandungan mengenai sukan itu pun tidak banyak muncul di Threads saya. Sekali saya tengok, rupa-rupanya tiket itu berharga RM2,000 untuk tiga hari. Saya pula beli untuk sehari dengan harga RM8,000. Dah terbeli, nak buat macam mana,” katanya.
Terdahulu, Ain berkongsi video reaksi suaminya ketika menerima kejutan tiket perlumbaan F1 yang dibelinya.
Bagaimanapun, kejutan yang dirancang itu bertukar menjadi detik mencemaskan apabila Amirul mengetahui isterinya membayar RM8,000 untuk tiket berkenaan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back