Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, menggesa supaya gencatan senjata di Gaza dikekalkan serta usaha politik dipergiat bagi mencapai keamanan berkekalan di rantau berkenaan.
Menjelang ulang tahun ketiga serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, Guterres berkata sudah tiba masanya gencatan senjata menjadi kekal, bantuan kemanusiaan disalurkan secara besar-besaran dan undang-undang antarabangsa dihormati.
"Sudah tiba masanya gencatan senjata menjadi kekal. Sudah tiba masanya bantuan kemanusiaan disalurkan pada skala besar. Sudah tiba masanya undang-undang antarabangsa dihormati," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata tarikh tersebut tidak seharusnya hanya menjadi peringatan kepada tragedi dan kehilangan nyawa, sebaliknya menjadi titik tolak kepada usaha baharu untuk membina masa depan berbeza.
Menurutnya, masa depan itu perlu membolehkan rakyat Palestin dan Israel hidup bersama dalam keamanan dan keselamatan, dengan hak, maruah serta aspirasi kedua-dua pihak dihormati.
Guterres turut menegaskan penderitaan rakyat Palestin di Gaza perlu dihentikan segera susulan kehilangan nyawa dalam jumlah besar, perpindahan penduduk serta kemusnahan kediaman dan infrastruktur.
Beliau berkata gencatan senjata yang dicapai sebelum ini telah memberikan sedikit kelegaan, namun keamanan berkekalan masih memerlukan penyelesaian politik yang diyakini serta akses bantuan kemanusiaan yang mencukupi.
Guterres sebelum ini turut menegaskan bahawa gencatan senjata kekal, pembebasan semua tebusan serta akses kemanusiaan tanpa halangan merupakan asas penting kepada usaha mencapai keamanan di Gaza.
Beliau pada masa sama menggesa semua pihak menghormati undang-undang antarabangsa dan meneruskan usaha diplomatik ke arah penyelesaian politik yang membolehkan rakyat Palestin dan Israel hidup dalam keamanan dan keselamatan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back