SEPANG, 4 Okt - Pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen menampilkan aksi cemerlang untuk muncul juara Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini, dalam perlumbaan yang berlangsung penuh drama.
Kemenangan itu menyaksikan juara dunia empat kali berkenaan meraih kemenangan sulungnya musim ini, selain mengulangi kejayaan sembilan tahun lalu ketika kali terakhir GP Malaysia dianjurkan di litar berkenaan.
Pelumba Mercedes-AMG Petronas, Kimi Antonelli menamatkan perlumbaan di tempat kedua selepas memulakan saingan dari petak ketiga, manakala juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton dari Ferrari melengkapkan podium di tempat ketiga selepas bermula dari petak kedua.
Rakan sepasukan Hamilton, Charles Leclerc menduduki tempat keempat, diikuti rakan sepasukan Verstappen, Isack Hadjar di tempat kelima.
Sementara itu, pemenang GP Azerbaijan minggu lalu, George Russell yang juga rakan sepasukan Antonelli, terpaksa melupakan hasrat untuk menaiki podium selepas gagal menamatkan perlumbaan akibat mengalami kerosakan jentera ketika berbaki lima pusingan.
Perlumbaan hari ini bermula dengan penuh dramatik apabila hujan lebat melanda litar sebelum waktu permulaan yang dijadualkan pada jam 3 petang, menyebabkan air bertakung di beberapa bahagian trek.
Keadaan cuaca yang tidak menunjukkan tanda-tanda bertambah baik memaksa pihak 'Race Control' menangguhkan permulaan perlumbaan atas faktor keselamatan.
Situasi bertambah tegang ketika pusingan formasi apabila beberapa jentera dilaporkan mengalami kehilangan kuasa serta gangguan perisian enjin ketika bergerak di belakang kereta keselamatan.
Susulan masalah itu, bendera merah dikibarkan dan semua jentera diarahkan kembali ke lorong pit sebelum perlumbaan akhirnya diteruskan.
Ketika perlumbaan berlangsung, kereta keselamatan turut memasuki litar sebanyak dua kali susulan beberapa insiden yang berlaku.
Namun, Verstappen kekal tenang mengawal perlumbaan dalam keadaan mencabar sebelum melintasi garisan penamat di kedudukan pertama.
Kejayaan itu bukan sahaja menghadiahkan kemenangan pertama musim ini buat Verstappen, malah turut menjadi kemenangan sulung Red Bull Racing dalam saingan musim ini.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back