MANCHESTER - Manchester City berdepan kemungkinan dikenakan hukuman berat selepas suruhanjaya bebas mendapati kelab itu melakukan pelanggaran serius terhadap peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL) sepanjang tempoh sembilan musim.
Kelab yang mendapat sokongan Abu Dhabi itu didapati menggunakan beberapa perjanjian komersial yang tidak mencerminkan nilai sebenar bagi meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos lebih £900 juta (RM4.8 bilion) antara 2009 hingga 2018.
Menurut keputusan suruhanjaya berkenaan, tindakan itu menyebabkan kedudukan kewangan sebenar City tidak dilaporkan dengan tepat, sekali gus membolehkan kelab berkenaan mengelak daripada melanggar had perbelanjaan yang ditetapkan EPL dan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).
Suruhanjaya itu turut mendapati City bersalah atas majoriti pertuduhan berkaitan kegagalan memberikan kerjasama dalam siasatan yang dijalankan EPL.
Bagaimanapun, tiada hukuman dikenakan setakat ini dan City dilaporkan akan merayu keputusan berkenaan.
Keputusan itu boleh memberi kesan besar terhadap bola sepak England, termasuk kedudukan City dalam EPL serta kemungkinan tindakan terhadap kejuaraan yang dimenangi kelab berkenaan sepanjang tempoh terbabit.
Ketua Eksekutif EPL, Richard Masters, berkata keputusan berkenaan menetapkan fakta mengenai pelanggaran peraturan yang dilakukan City dan menyifatkan kes itu sebagai antara yang paling penting dalam sejarah liga.
"Keputusan utama ini menetapkan fakta mengenai apa yang berlaku di Manchester City sepanjang tempoh berkenaan. Ia memperincikan bagaimana kelab itu melanggar peraturan EPL secara sistematik selama hampir sedekad.
"Kes tatatertib ini dan keputusan berkenaan adalah yang paling penting dalam sejarah EPL," katanya dalam satu kenyataan.
Suruhanjaya mendapati City mengatur beberapa perjanjian komersial yang menyaksikan syarikat terbabit hanya membayar sebahagian daripada jumlah penajaan yang dipersetujui.
Baki bayaran pula dibiayai oleh Abu Dhabi United Group Investment and Development (ADUG), milik Sheikh Mansour bin Zayed al-Nahyan yang merupakan pemilik City.
Beberapa aturan lain yang dibiayai ADUG turut membolehkan City merekodkan perbelanjaan operasi lebih rendah daripada jumlah sebenar yang ditanggung.
Kesannya, kelab itu gagal melaporkan pendapatan dan perbelanjaan sebenar secara tepat bagi memenuhi peraturan kelestarian kewangan EPL dan UEFA.
Suruhanjaya mendapati aturan berkenaan meningkatkan pendapatan City lebih £830 juta (RM4.4 bilion), manakala pendapatan hak imej dilebihkan hampir £74 juta (RM399 juta).
Pada masa sama, liabiliti kontrak kakitangan dilaporkan kurang hampir £17 juta (RM91 juta).
Suruhanjaya itu turut menyatakan City akan melanggar had perbelanjaan "dengan jumlah yang sangat besar" sekiranya kelab berkenaan melaporkan kedudukan kewangannya secara tepat.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back