LONDON - Jude Bellingham dinobatkan sebagai Pemain Terbaik England bagi musim kedua berturut-turut selepas mempamerkan aksi cemerlang di Piala Dunia 2026.
Pemain tengah Real Madrid itu menerima pengiktirafan berkenaan selepas mengungguli undian awam, susulan persembahan memberangsangkan bersama skuad The Three Lions sepanjang kempen antarabangsa.
Bellingham mencipta sejarah di Piala Dunia 2026 apabila meledak tujuh gol, sekali gus memecahkan rekod jaringan terbanyak pemain England dalam satu kejohanan.
Pemain berusia 23 tahun itu menjaringkan dua gol ketika England menewaskan Mexico 3-2 pada pusingan 16 terakhir sebelum mengulangi pencapaian sama ketika menentang Norway pada suku akhir.
Bagaimanapun, perjalanan England berakhir di separuh akhir selepas tewas tipis kepada Argentina.
England kemudian menamatkan kejohanan di tempat ketiga selepas menewaskan Perancis 6-4 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, sekali gus mencatat pencapaian terbaik mereka dalam Piala Dunia yang berlangsung di luar England.
Bellingham berkata pengiktirafan itu amat bermakna kerana ia diberikan berdasarkan sokongan penyokong England.
"Ia satu perasaan yang hebat. Sudah tentu satu penghormatan besar apabila sekali lagi diiktiraf oleh peminat.
"Ia bukan sesuatu yang anda fikirkan ketika bermain untuk negara, tetapi ia sememangnya satu tambahan yang indah kepada musim panas hebat yang kami lalui," katanya.
Sementara itu, pengendali England, Thomas Tuchel, menyifatkan Bellingham sebagai antara pemain terbaik sepanjang kejohanan.
"Saya fikir dia antara pemain terbaik kejohanan, bukan sahaja untuk kami tetapi untuk keseluruhan kejohanan. Dia memenuhi potensinya sepenuhnya; anda boleh lihat betapa kompetitifnya dia dan betapa kuatnya dia," kata Tuchel.
Menurut Tuchel, Bellingham turut memiliki mentaliti yang membolehkannya menyerlah ketika berdepan tekanan tinggi.
"Dia semakin menyerlah apabila berada di bawah tekanan. Dia menyukai detik-detik seperti ini, gemar berada di pentas sebegini dan ia membuatkan prestasi terbaiknya terserlah," katanya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back