JAKARTA - Ratusan penyokong Harimau Malaya ‘ditahan’ lebih sejam selepas tamat perlawanan Malaysia menentang Indonesia dalam aksi Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), sebentar tadi.
Bagaimanapun, tindakan itu bukan susulan sebarang kekecohan, sebaliknya merupakan langkah keselamatan bagi memastikan penyokong Malaysia dapat meninggalkan stadium dalam keadaan terkawal.
Penyokong pelawat diarahkan untuk kekal di kawasan yang ditetapkan sementara puluhan ribu penyokong Indonesia beredar terlebih dahulu.
Puluhan anggota keselamatan turut ditempatkan di sekeliling kawasan berkenaan bagi mengawal pergerakan penyokong Malaysia serta menghalang mereka daripada menghampiri kawasan penyokong tuan rumah.
Penyokong Malaysia kemudian dibenarkan keluar secara berperingkat selepas keadaan di sekitar stadium dilihat lebih reda.
Sepanjang tempoh berkenaan, keadaan dilaporkan terkawal tanpa sebarang kekecohan atau provokasi daripada penyokong kedua-dua pasukan.
Dalam perlawanan terdahulu, Malaysia terikat 0-0 dengan Indonesia di hadapan 56,894 penonton.
Indonesia beraksi dengan 10 pemain selepas Thom Haye dilayangkan kad merah pada minit ke-35, namun Harimau Malaya gagal memanfaatkan kelebihan tersebut untuk meraih kemenangan.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia kekal di tangga teratas Kumpulan A dengan empat mata.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back