OSLO - Goncalo Ramos muncul wira Portugal apabila menjaringkan gol kemenangan untuk membantu juara bertahan Liga Negara-Negara itu menewaskan Norway 2-1 dalam aksi Kumpulan A4 di Oslo, hari ini.
Ramos yang diturunkan menggantikan Cristiano Ronaldo membuktikan keupayaannya apabila meledak gol antarabangsa ke-12, sekali gus membantu Portugal mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan kali ini.
Skuad kendalian Jorge Jesus sebelum itu menewaskan Wales 1-0 pada Khamis lalu, selepas melalui kekecewaan apabila tersingkir pada pusingan 16 terakhir Piala Dunia kepada Sepanyol.
Ronaldo, 41, disenaraikan sebagai pemain simpanan buat kali pertama untuk Portugal sejak perlawanan Liga Negara-Negara menentang Scotland pada September 2024.
Jesus memilih untuk tidak menurunkan kapten veteran itu sebagai sebahagian daripada pengurusan minit permainannya sepanjang tempoh rehat antarabangsa kali ini.
Ramos mengambil kesempatan sepenuhnya dengan persembahan bertenaga, selain memainkan peranan penting dalam kemenangan Portugal.
"Setiap saat adalah penting. Apa yang penting ialah menunjukkan apa yang mampu saya lakukan setiap kali dipanggil dan menyumbang kepada pasukan," kata Ramos kepada Sport TV.
"Ia adalah bukti usaha saya, tentang apa yang boleh saya tawarkan kepada pasukan - bukan sekadar gol tetapi segala-galanya yang saya lakukan di atas padang."
Norway, yang layak ke suku akhir Piala Dunia, bagaimanapun terlepas beberapa peluang terbaik untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata selepas membuka kempen dengan kemenangan 3-2 ke atas Denmark.
Erling Haaland mempunyai peluang terbaik untuk membuka jaringan namun gagal menyudahkan voli selepas menerima hantaran Martin Odegaard, membolehkan penjaga gol Portugal, Diogo Costa, menyelamatkan percubaan tersebut.
Portugal kemudian menghukum kelalaian itu pada minit ke-17 apabila Joao Felix melepaskan rembatan leret dari luar kotak penalti yang menerjah penjuru bawah gawang.
Haaland hampir menyamakan kedudukan tidak lama kemudian apabila Costa gagal mengawal bola yang menuju ke arahnya, namun percubaannya disekat rakan sepasukannya di Manchester City, Ruben Dias.
Costa sekali lagi menjadi penghalang kepada penyerang Norway itu 10 minit sebelum tamat separuh masa pertama apabila menepis tandukan berbahaya Haaland.
Bagaimanapun, Haaland akhirnya menemui sasaran enam minit selepas babak kedua bermula apabila dia menyudahkan hantaran tandukan Patrick Berg di hadapan gawang.
Kegembiraan Norway tidak bertahan lama apabila kesilapan Nyland mengubah semula keadaan.
Penjaga gol Norway itu membuat hantaran terus kepada Ramos, yang tenang melambungkan bola melepasi Nyland untuk memberikan Portugal kelebihan 2-1.
Rafael Leao hampir menambah gol ketiga Portugal apabila percubaannya terkena palang ketika pasukan pelawat berusaha mengesahkan kemenangan.
Nyland turut terselamat daripada kesilapan lebih besar apabila gol kedua Ramos dibatalkan VAR kerana ofsaid tipis.
Norway terus memberikan tekanan pada minit-minit akhir dan Nyland turut naik membantu serangan, namun Portugal berjaya bertahan untuk memastikan kemenangan 2-1.
Kemenangan itu mengukuhkan permulaan positif Portugal dalam usaha mempertahankan kejuaraan Liga Negara-Negara.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back