NAGOYA, 25 Sept (Bernama) - Skuad sepak takraw negara mencipta detik manis menamatkan penantian selama 36 tahun, untuk kembali meraih pingat emas acara regu berpasukan lelaki setelah menewaskan Thailand 2-0 pada aksi final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.
Sejarah dilakar di Paloma Mizuho Arena itu menyaksikan Malaysia mengulangi pencapaian sama pernah diraih pada Sukan Asia 1990 di Beijing, yang turut menyaksikan skuad negara menewaskan musuh tradisi itu.
Percaturan meletakkan regu utama Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias untuk meraih kelebihan awal membuahkan hasil, apabila berjaya memperoleh mata menerusi kemenangan 15-9, 5-15, 15-11 menewaskan Marukin Phanmakon, Phutawan Sopa dan Pornthep Tinbangbon.
Kemenangan itu terus menyuntik semangat regu kedua negara dibarisi Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi.
Trio itu mudah memastikan kemenangan selepas menundukkan regu Thailand, Kritsanapong Nontakote, Tanaphon Sapyen dan Wuttinu Kamsanor 15-13, 15-10.
Kejayaan diraih kem sepak takraw itu dalam masa sama menghadiahkan Malaysia pingat emas keempat negara pada temasya itu.
Sementara itu, bagi tekong negara Syahir dan apit kanan Azlan, kejayaan bersejarah itu hadir selepas melalui pelbagai cabaran, termasuk kecederaan menimpa beberapa pemain sebelum temasya, sekali gus menjadikan kemenangan ke atas Thailand sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Pertama sekali Alhamdulillah. Apa yang berlaku tadi, semua yang bermain itu sejujurnya bukan dari kami. Kami tahu kelemahan kami di mana, tetapi kami sangat bersyukur kerana Allah memberikan pinjaman kudrat kepada kami dan itulah yang kami persembahkan,” katanya ditemui selepas perlawanan.
Azlan pula mengakui kejayaan menewaskan Thailand menerusi kemenangan bersih 2-0 di luar jangkaan mereka, lebih-lebih lagi selepas pasukan berdepan beberapa masalah kecederaan sebelum berangkat ke Nagoya.
“Saya sendiri, pertama sekali Alhamdulillah. Kami pun tidak tahu hendak cakap bagaimana boleh menang 2-0. Kami tidak sangka boleh menang 2-0 dengan Thailand.
“Kami tahu Thailand sedang meningkat, manakala kami banyak bergelut sebenarnya sebelum datang ke sini. Syahir cedera, saya cedera dan ramai yang cedera, tetapi Alhamdulillah Tuhan membantu,” katanya.
Beliau berkata kejayaan itu turut membawa makna besar kerana ia berlaku selepas Malaysia menanti selama 36 tahun untuk kembali meraih emas acara berkenaan di pentas Sukan Asia.
“Yang penting orang cakap apa, Sukan Asia. Sudah lama, 36 tahun. Lebih lama daripada zaman jurulatih kami. Jadi 2026 ini mencipta sejarah untuk generasi kami. Alhamdulillah,” katanya.
Kejayaan itu melengkapkan koleksi utama buat beberapa pemain negara selepas pernah meraih kejayaan di pentas Piala Dunia dan Sukan SEA, namun Azlan menegaskan mereka tidak akan leka, kerana masih mempunyai tugasan dalam acara regu pada temasya itu selepas ini.
Sumber: BERNAMA
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back