KUALA LUMPUR - Kontinjen Malaysia akhirnya menamatkan penantian untuk meraih pingat emas pertama pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas atlet karate negara, Adeola Fay Robert, muncul juara acara kumite bawah 55 kilogram (kg) wanita.
Pada aksi final di Gimnasium Toyohashi semalam, atlet berusia 20 tahun itu menewaskan wakil Iran, Fatemahzahra Saeidabadi, 6-4 untuk menghadiahkan emas pertama buat kontinjen negara.
Beraksi dalam pertarungan sengit, Adeola kekal tenang dan fokus sebelum mempamerkan aksi bertenaga untuk memastikan kemenangan.
Dalam perjalanan ke final, atlet kelahiran Sabah itu terlebih dahulu menyingkirkan juara bertahan dari Uzbekistan, Sevinch Rakhimova, 8-7 pada peringkat suku akhir.
Beliau kemudian meneruskan momentum apabila menewaskan Bella Samasheva dengan keputusan sama, 8-7, pada aksi separuh akhir.
Kejayaan tersebut turut membolehkan Adeola menikmati ganjaran istimewa apabila Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) menjanjikan sebuah kereta Proton e.MAS kepada pemenang pingat emas Sukan Asia.
Untuk rekod, Malaysia kali terakhir meraih emas dalam sukan karate pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan menerusi Syakilla Salni yang menjuarai acara kumite bawah 61kg wanita.
Pingat emas itu juga melengkapkan perkembangan positif Adeola di pentas antarabangsa selepas beliau sebelum ini meraih gangsa dalam acara sama pada Sukan SEA Thailand tahun lalu.
Sementara itu, ratu wushu negara, Tan Cheong Min, turut menyumbang pingat kepada kontinjen Malaysia hari ini apabila meraih gangsa dalam acara nanquan dan nandao wanita.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back