LONDON - Pengurus Manchester United, Michael Carrick melihat beberapa perkembangan positif daripada keputusan seri 1-1 menentang Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi, meskipun pasukannya gagal meraih kemenangan.
United hampir menanggung kekalahan ketiga berturut-turut selepas ketinggalan pada minit ke-63, sebelum Matheus Cunha muncul sebagai penyelamat menerusi jaringan untuk memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.
Fulham terlebih dahulu berada di hadapan selepas Lisandro Martinez tersilap ketika cuba mengeluarkan bola sehingga menyaksikan hantaran tersebut menerjah ke gawang sendiri.
Keputusan itu menyaksikan United hanya meraih satu kemenangan daripada lima perlawanan EPL setakat ini, sekali gus menambah tekanan terhadap skuad kendalian Carrick.
United turut berdepan kritikan selepas dilihat bergelut untuk menampilkan intensiti yang sama seperti Fulham, yang berada di tangga kedua tercorot liga sebelum perlawanan.
Bagaimanapun, Carrick menolak dakwaan bahawa anak buahnya bermain secara pasif dan menegaskan mereka mengawal sebahagian besar permainan pada babak pertama.
“Saya tidak fikir begitu. Bola sepak adalah permainan yang sukar. Kami mengawal sebahagian besar babak pertama.
“Ini Liga Perdana Inggeris dan anda akan melalui fasa di mana anda tidak menguasai permainan sepenuhnya. Untuk mengharapkan penguasaan keseluruhan sepanjang perlawanan, saya berasa tiada siapa yang mendapat perkara itu dalam liga ini,” katanya.
United sebelum ini tewas kepada Manchester City dalam aksi EPL minggu lalu sebelum tersingkir daripada Piala Liga selepas kalah kepada Brighton pada pusingan ketiga.
Namun, Carrick percaya pasukannya mempunyai peluang untuk membawa pulang tiga mata dari Craven Cottage berdasarkan jumlah peluang yang dicipta.
“Saya fikir kami sepatutnya memenangi perlawanan ini. Kami mencipta peluang yang mencukupi untuk menang.
“Gol yang kami bolos itu adalah salah satu daripadanya. Pemain mungkin boleh berfikir, tetapi saya suka reaksi mereka.
“Kami hampir memenanginya pada penghujung perlawanan. Sudah tentu kami datang untuk mendapatkan kemenangan dan berdasarkan bagaimana perlawanan berlangsung serta bagaimana kami menamatkannya, itu perkara positif yang boleh kami ambil daripada perlawanan ini,” katanya.
Carrick turut mengakui masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki, namun melihat keputusan tersebut sebagai peluang untuk United belajar dan berkembang.
“Saya fikir kami boleh mengambil banyak perkara daripada perlawanan ini. Saya juga fikir kami boleh belajar banyak perkara.
“Kami boleh menjadi lebih baik dalam aspek tertentu, itu sudah jelas, tetapi terdapat beberapa petanda yang baik hari ini,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back