KUALA LUMPUR – Sepucuk surat yang ditulis mendiang vokalis Linkin Park, Chester Bennington, kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, ditemui semula selepas lebih 20 tahun disimpan.
Penemuan itu dikongsikan pengurus Siti, Rozi Abd Razak, menerusi platform Threads apabila beliau menemui surat berkenaan ketika mengemas rumah baru-baru ini.
Menurut Rozi, surat tersebut diterima ketika beliau dan Siti menghadiri MTV Asia Awards 2005 yang berlangsung di Bangkok, Thailand.
“Beberapa bulan lalu saya pernah berkongsi kisah ini ketika sesi siaran langsung bersama Siti. Ketika mengemas rumah, saya terjumpa semula surat daripada mendiang Chester Bennington yang diterima kira-kira 21 tahun lalu. Surat ini dihantar ke bilik hotel saya dan Siti, dan saya masih menyimpannya sehingga hari ini,” tulisnya.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan, surat itu ditujukan kepada “Ms Siti Nurhaliza Binte Tarudin” di bilik hotel bernombor 1017.
Dalam nota ringkas tersebut, Bennington meminta Siti memakai topi yang dihadiahkannya ketika penyanyi tersohor itu membuat persembahan pada malam acara berkenaan.
“Kepada Ms Siti Nurhaliza Binte Tarudin. Harap dapat memakai topi di pentas malam ini. Terima kasih,” tulis Bennington dalam surat tersebut.
Rozi menyifatkan surat itu sebagai antara kenangan berharga yang masih disimpannya sehingga kini.
“Sekadar mengimbau kenangan lama, tiada tujuan lain,” katanya.
Pada MTV Asia Awards 2005, Siti bukan sahaja memenangi anugerah Favourite Artiste Malaysia, malah turut membuat persembahan dan diperkenalkan sebagai “Voice of Asia”.
Perkongsian Rozi itu turut menarik perhatian netizen yang tertanya-tanya sama ada Siti sempat memakai topi yang diminta oleh Bennington pada malam tersebut.
Namun setakat ini, persoalan itu masih belum terjawab apabila Rozi belum memberikan sebarang maklum balas terhadap pertanyaan yang ditinggalkan peminat di ruangan komen.
Untuk rekod, Chester Bennington meninggal dunia pada 2017 pada usia 41 tahun. Beliau dikenali sebagai vokalis utama kumpulan rock Amerika Syarikat, Linkin Park, yang popular menerusi lagu-lagu hit seperti In the End, Numb dan What I've Done.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back