LONDON, 17 Sept (Bernama-PA Media/dpa) - Rapper Amerika Syarikat, Macklemore, menyumbangkan keseluruhan pendapatan bersihnya berjumlah AS$1 juta daripada Jelajah Loop Ed Sheeran kepada badan amal yang menyokong rakyat Palestin, lapor PA Media/dpa.
Sumbangan itu dibuat selepas pemuzik berkenaan digugurkan sebagai artis pembuka persembahan susulan komen yang dibuatnya mengenai Gaza.
Sejak itu, semua artis pembuka bagi Jelajah Loop Sheeran, termasuk penyanyi Ireland Aaron Rowe, pemuzik pemenang Anugerah Grammy, Finneas, yang juga adik kepada Billie Eilish, serta penyanyi Denmark Lukas Graham dan kumpulan muzik pengiringnya, Beoga, menarik diri daripada baki persembahan.
Dalam hantaran yang dikongsikan menerusi Instagram pada Rabu, Macklemore, yang nama sebenarnya Ben Haggerty, berkata: “Dengan segala yang berlaku dalam tempoh 48 jam terakhir, saya mahu membawa kembali perbincangan kepada perkara yang sepatutnya diberi perhatian, iaitu rakyat Palestin yang masih dibunuh, masih hidup di bawah pendudukan tentera dan masih berjuang untuk kebebasan mereka.
“Saya akan menyumbangkan keseluruhan AS$1 juta daripada pendapatan bersih saya daripada Jelajah Loop Ed Sheeran kepada enam organisasi yang bekerja secara langsung untuk menyokong rakyat Palestin.”
Pada Isnin, rapper itu mendakwa Robert Kraft, yang syarikatnya, Kraft Group, memiliki Stadium Gillette, telah menghubungi Sheeran dan memberitahunya bahawa mereka tidak dapat mengadakan persembahan sekiranya Macklemore tidak dikeluarkan daripada jelajah berkenaan.
Beliau turut mengajak ahli perniagaan Amerika Syarikat itu menyamai jumlah sumbangannya sambil berkata: “Walau apa pun perkara yang kita tidak persetujui, mungkin kita boleh bersetuju dalam hal ini: nyawa rakyat Palestin wajar dilindungi. Nyawa seorang rakyat Palestin tidak kurang nilainya berbanding nyawa mana-mana insan lain di muka bumi ini.”
Beliau berkata: “Bantuan semata-mata tidak dapat menangani keadaan yang menyebabkan bantuan itu diperlukan. Ini ialah ketidakadilan yang dilakukan manusia dan saya percaya ia memerlukan perubahan politik segera.
“Rakyat Palestin telah hidup selama beberapa dekad tanpa hak asas dan mereka tidak sepatutnya perlu menunggu sehari lagi untuk bebas. Inilah perkara yang akan terus menjadi tumpuan saya.”
Rapper itu menyumbang kepada Palestine Children’s Relief Fund (PCRF), HEAL Palestine, Gaza Soup Kitchen, Medical Aid for Palestinians, UNRWA USA dan American Near East Refugee Aid.
Pada Selasa, Sheeran berkata menerusi media sosial bahawa keputusan untuk menggugurkan Macklemore daripada jelajah itu dibuat oleh pihak penganjur dan bukan olehnya.
Beliau berkata “tarikh persembahan yang akan datang telah dimaklumkan bahawa mereka akan membatalkan persembahan sekiranya beliau masih menjadi artis sokongan”, dan menambah bahawa Kraft merupakan antara pihak berkenaan.
Sheeran menambah: “Saya tidak bersubahat. Saya mempunyai pandangan peribadi mengenai konflik yang dahsyat ini.”
Penyanyi lagu “Shape Of You” itu berkata beliau “terkejut dan kecewa dengan konflik antara Israel dan Palestin” serta menambah bahawa beliau menghormati Macklemore “sebagai seorang artis”.
Dalam kenyataan terdahulu yang dikongsikan Kraft, ahli perniagaan itu berkata keputusannya untuk melarang rapper Amerika Syarikat itu susulan komen yang dibuatnya di atas pentas adalah berdasarkan “sejarah yang lebih luas berkaitan retorik dan imejan antisemitik yang kami percaya amat menyinggung perasaan dan menyakitkan hati komuniti Yahudi”.
Persembahan Sheeran seterusnya dijadualkan pada 19 September di Lincoln Financial Field, Philadelphia, yang menyaksikan Graham dan Rowe sebelum ini dijadualkan membuat persembahan pembukaan untuknya.
Beliau masih mempunyai 17 tarikh persembahan di Amerika Utara dan Selatan, dengan persembahan terakhir dijadualkan pada 11 Disember di Mexico City.
Sumber: BERNAMA
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back