MANCHESTER - Manchester United memulakan kempen Liga Juara-Juara Eropah dengan langkah bergaya selepas menewaskan juara Azerbaijan, Sabah, 4-0 di Old Trafford, sekali gus meraikan kepulangan mereka ke pentas utama Eropah selepas tiga musim.
Matheus Cunha membuka tirai jaringan pada minit ke-27 sebelum kapten Bruno Fernandes dan penyerang Benjamin Sesko masing-masing menjaringkan gol sebelum tamat separuh masa pertama.
Lisandro Martinez kemudian melengkapkan kemenangan The Red Devils pada babak kedua untuk memastikan skuad kendalian Michael Carrick memulakan kempen Eropah dengan rekod tanpa bolos.
Kemenangan itu hadir selepas permulaan kurang meyakinkan United dalam Liga Perdana Inggeris musim ini apabila mereka hanya mengutip empat mata daripada tiga perlawanan pertama.
Carrick menyifatkan kemenangan tersebut sebagai perkembangan positif, terutama selepas pasukannya berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos.
“Seronok dapat mengekalkan rekod tanpa bolos dan sudah tentu memenangi perlawanan. Saya fikir beberapa gerakan serangan kami sangat baik dan ada beberapa permainan bola sepak yang kami pamerkan benar-benar bagus,” katanya.
Sabah, yang melalui empat pusingan kelayakan untuk mara ke saingan utama Liga Juara-Juara, bermula dengan penuh keyakinan meskipun berdepan hampir 74,000 penyokong di Old Trafford.
Bagaimanapun, perbezaan pengalaman dan kualiti antara kedua-dua pasukan semakin ketara selepas United meningkatkan tempo permainan.
Patrick Dorgu memainkan peranan penting dalam gol pembukaan apabila hantaran lintangnya disudahkan Cunha di tiang dekat.
United kemudian menggandakan kelebihan menerusi Fernandes hasil gerakan satu-dua kemas bersama Youri Tielemans, sebelum Sesko menambah gol ketiga selepas menerima umpanan Bryan Mbeumo.
Pada babak kedua, United terus mengawal permainan dan Martinez melengkapkan kemenangan selepas penjaga gol Sabah, Stas Pokatilov, melakukan kesilapan ketika cuba menyelamatkan tandukan Joshua Zirkzee hasil sepakan percuma Fernandes.
Bagi pengendali Sabah, Valdas Dambrauskas, pasukannya perlu mengambil pengajaran daripada kekalahan tersebut selepas gagal menampilkan keberanian yang diperlukan ketika berdepan gergasi Liga Perdana Inggeris itu.
“Kami semua akan pulang malam ini dengan memikirkan bahawa kami sepatutnya boleh melakukan lebih baik.
“Saya tidak merasakan kami takut, tetapi kami juga tidak cukup berani, terutama daripada barisan pertahanan untuk bergerak ke hadapan,” katanya.
Dambrauskas turut mempunyai kaitan istimewa dengan Old Trafford apabila kisah kebangkitan kerjayanya bermula menerusi tugas di Manchester United Soccer Schools, termasuk melakukan beberapa pekerjaan sambilan ketika menyara hidup.
Kemenangan itu turut memberi peluang kepada Carrick melakukan beberapa penggiliran pemain menjelang pertembungan derbi Manchester menentang Manchester City pada Ahad.
Luke Shaw, Harry Maguire dan Marcus Rashford tidak disenaraikan, manakala Tielemans, Kobbie Mainoo, Mbeumo dan Sesko direhatkan pada separuh masa kedua.
United kini berdepan ujian lebih getir di pentas Eropah apabila dijadualkan bertandang ke Atletico Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara seterusnya lima minggu lagi.
Kemenangan United melengkapkan minggu cemerlang buat kelab England dalam saingan Eropah apabila Arsenal, Aston Villa, Liverpool dan Manchester City turut membuka kempen masing-masing dengan kemenangan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back