LONDON - Penyerang Arsenal, Gabriel Martinelli meninggalkan kelab itu untuk menyertai gergasi Arab Saudi, Al Hilal menerusi perpindahan tetap yang dilaporkan bernilai sehingga £60 juta (RM335 juta).
Arsenal mengesahkan perpindahan pemain Brazil berusia 25 tahun itu, namun tidak mendedahkan nilai transaksi.
Bagaimanapun, media Britain melaporkan Al Hilal membayar £60 juta sebagai bayaran terjamin untuk mendapatkan khidmat Martinelli.
Nilai tersebut menjadikan Martinelli pemain termahal yang meninggalkan Arsenal, mengatasi rekod Alex Oxlade-Chamberlain yang berpindah ke Liverpool dengan nilai £35 juta (RM196 juta) pada 2017.
Martinelli menandatangani kontrak selama empat tahun bersama Al Hilal, yang kini berkongsi kedudukan teratas Liga Pro Saudi bersama Al Nassr, pasukan yang dibarisi Cristiano Ronaldo.
"Gabriel Martinelli menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al Hilal secara perpindahan tetap," menurut kenyataan Arsenal di laman web rasmi kelab itu.
Martinelli turut menyatakan kegembiraannya selepas diperkenalkan sebagai pemain baharu Al Hilal menerusi media sosial kelab berkenaan.
"Bangga menjadi biru, bangga menjadi Al Hilal," katanya.
Di Al Hilal, Martinelli bakal bergandingan dengan penyerang England, Ollie Watkins yang turut menyertai kelab itu daripada Aston Villa menerusi perpindahan yang dianggarkan bernilai £51 juta (RM285 juta).
Perpindahan Martinelli turut berlaku selepas Arsenal melepaskan seorang lagi pemain di posisi sayap kiri, Leandro Trossard yang menyertai Besiktas.
Arsenal bagaimanapun sudah mendapatkan pemain sayap Christos Tzolis dari Club Brugge, namun kepergian Martinelli dan Trossard menimbulkan persoalan mengenai kedalaman skuad kendalian Mikel Arteta di posisi berkenaan.
Martinelli membuat 53 penampilan dalam semua pertandingan musim lalu dan menjaringkan 11 gol ketika Arsenal menjuarai Liga Perdana Inggeris buat kali pertama sejak 2004.
Sepanjang hampir 300 penampilan bersama Arsenal, Martinelli meledak 62 gol selain membantu kelab London itu memenangi Piala FA pada 2020 dan Perisai Komuniti pada 2023.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back