KUCHING - Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) meningkatkan pemantauan di kawasan hutan berisiko susulan cuaca panas dan kering serta keadaan jerebu yang boleh meningkatkan risiko kebakaran hutan.
Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran berkata, situasi berkenaan dipandang serius kerana bukan sahaja meningkatkan risiko kebakaran, malah boleh memberi tekanan kepada ekosistem dan hidupan liar.
“Pemantauan ini kita lakukan khususnya di kawasan hutan gambut dan kawasan berhampiran aktiviti manusia.
“Kita melaksanakan rondaan di lapangan selain menggunakan maklumat ‘hotspot’ dan teknologi bagi membantu mengesan tanda-tanda awal kebakaran,” katanya.
Menurut beliau, SFC turut memberi tumpuan kepada Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) yang pernah terjejas akibat kebakaran hutan berdasarkan insiden terdahulu.
Antara kawasan yang menjadi perhatian ialah Santuari Hidupan Liar Sibuti, Rizab Semula Jadi Piasau, Taman Negara Lambir, Taman Negara Niah dan Taman Negara Mulu di Miri.
Di Kuching pula, pemantauan meliputi Santuari Hidupan Liar Samunsam, Taman Negara Bako serta Taman Negara Kuching Wetland, selain Rizab Semula Jadi Bukit Lima di Sibu.
Abang Arabi berkata, SFC turut bersedia menghadapi kemungkinan hidupan liar mengalami kecederaan akibat kebakaran atau masalah kesihatan susulan pendedahan kepada asap dan jerebu pada tahap melampau.
Katanya, persediaan itu termasuk penyediaan peralatan kecemasan serta tenaga kerja terlatih, termasuk pegawai veterinar SFC, bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku kecemasan.
“Kolaborasi dengan pusat veterinar swasta dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga adalah strategi kami dalam menangani isu melibatkan kesihatan hidupan liar,” katanya.
Mengulas mengenai kesiapsiagaan jangka panjang, beliau berkata perubahan iklim yang menyebabkan keadaan panas dan kering memerlukan SFC meningkatkan tahap kesiapsiagaan secara lebih sistematik.
“Kita sentiasa menilai keadaan semasa dan mengemas kini garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
“Matlamat kita bukan hanya bertindak apabila kebakaran berlaku, tetapi yang lebih penting ialah mencegah, mengesan lebih awal dan melindungi hutan serta hidupan liar sebelum keadaan menjadi lebih serius,” katanya.
Sementara itu, situasi jerebu rentas sempadan dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Sarawak sejak awal Ogos.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), setakat 11 pagi ini, Serian merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 517, iaitu pada tahap bahaya.
Tiga lagi kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat, masing-masing Kuching (310), Samarahan (281) dan Sri Aman (239).
Sumber: BERNAMA
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back