NEWCASTLE - Liverpool terpaksa bekerja keras sebelum menyelamatkan satu mata selepas seri 2-2 menentang Newcastle United dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.
Gol penalti Dominik Szoboszlai pada minit kesembilan masa kecederaan memastikan The Reds terlepas daripada kekalahan dalam perlawanan pertama kendalian Andoni Iraola di EPL bersama kelab berkenaan.
Newcastle dua kali berada di depan menerusi jaringan Anthony Elanga dan satu lagi gol Lewis Hall, namun Liverpool bangkit menyamakan kedudukan menerusi Cody Gakpo sebelum Szoboszlai menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung permainan.
Iraola mengakui Liverpool tidak mempamerkan aksi terbaik, namun memuji semangat juang anak buahnya yang tidak berputus asa sehingga wisel penamat.
“Ini bukan keputusan yang anda mahukan sebelum perlawanan, tetapi apabila menjaringkan gol pada minit akhir, ia memberikan perasaan yang lebih baik.
“Saya tidak fikir kami layak kalah dalam perlawanan ini. Saya menghargai usaha pemain kerana mereka tidak pernah berputus asa dan akhirnya peluang itu tiba untuk kami sekurang-kurangnya meraih satu mata,” katanya.
Newcastle pula terlepas peluang untuk meraih kemenangan selepas kelemahan di bahagian pertahanan memberi ruang kepada Liverpool untuk bangkit.
Lewis Hall menjatuhkan Victor Munoz di dalam kotak penalti ketika perlawanan hampir tamat, sekali gus menghadiahkan Liverpool sepakan penalti yang disempurnakan Szoboszlai.
Bagi Newcastle, keputusan itu mengecewakan, namun penyerang Yoane Wissa tetap melihat banyak perkara positif daripada persembahan pasukannya selepas perubahan besar berlaku di kelab berkenaan pada musim panas.
“Ia sangat menyakitkan, terutama ketika hanya tinggal 30 saat sebelum perlawanan berakhir, tetapi ini adalah satu langkah besar buat kami.
“Itulah mentaliti yang perlu kami tunjukkan sepanjang musim ini. Kami masih mempunyai banyak perkara untuk diperbaiki,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back