JOHOR BAHRU - Kehadiran lima pemain pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka menjadi antara kekuatan utama Kuching City FC dalam mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2026/2027.
Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak, berkata skuadnya masih dalam proses membentuk keserasian selepas membawa masuk sembilan pemain baharu bagi menghadapi musim ini.
Beliau mengakui kehadiran pemain baharu, termasuk lima pemain pinjaman JDT, memberikan tambahan kualiti kepada pasukan, namun mereka masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan sistem permainan yang diterapkan.
Lima pemain berkenaan ialah Nazmi Faiz, Declan Lambert, Ryan Lambert, Safawi Rasid dan Adjin Mujagic.
“Sejujurnya, persiapan kami tidak berada pada tahap terbaik kerana terdapat beberapa pemain penting yang tidak dapat bersama pasukan ketika menjalani persiapan di Chiang Mai.
“Kami mempunyai sembilan pemain baharu dan mereka baru bersama pasukan kira-kira sebulan. Mereka masih berusaha untuk menyesuaikan diri, tetapi hari demi hari kami semakin baik,” katanya pada sidang akhbar pra-perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, di sini.
Aidil berkata perlawanan pembukaan berkenaan bukan tugas mudah buat anak buahnya, namun percaya kerja keras serta semangat berpasukan mampu membantu Kuching City memberikan saingan sengit.
Dalam pada itu, kapten Kuching City, James Okwuosa, berkata seluruh pasukan teruja untuk memulakan musim dengan aksi berprestij berkenaan.
Menurutnya, perlawanan itu turut menjadi peluang buat pasukan membuktikan kemampuan selepas menjalani persiapan bagi menghadapi musim baharu.
“Kami mahu berkembang bersama. Yang paling penting adalah keterujaan dan keinginan untuk mencipta sejarah buat diri sendiri serta pasukan,” katanya.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back