PHILADELPHIA - Islam Makhachev terus mencipta sejarah dalam UFC apabila mempertahankan kejuaraan welterweight selepas menewaskan wakil Ireland, Ian Machado Garry, menerusi keputusan sebulat suara pada aksi utama UFC 330, awal pagi tadi.
Makhachev meraih kemenangan dengan mata 49-46, 49-46 dan 48-47, sekali gus melanjutkan rekod kemenangan berturut-turutnya kepada 17 pertarungan.
Catatan itu menyaksikan petarung Russia berkenaan memintas rekod legenda UFC dan ahli Dewan Kemasyhuran, Anderson Silva, yang merekodkan 16 kemenangan berturut-turut dari 2006 hingga 2013.
Makhachev mengawal pertarungan lima pusingan itu menerusi penguasaan di atas kanvas dan teknik gusti yang konsisten. Dia turut menggabungkan tumbukan serta tendangan, termasuk satu tendangan tepat ke kepala yang menggegarkan Garry pada pusingan kedua.
Garry, yang mengintai peluang menjadi juara UFC mutlak kedua dari Ireland, berjaya bertahan daripada beberapa situasi berbahaya dengan pertahanan baik di atas kanvas. Bagaimanapun, dia gagal menghasilkan serangan yang mencukupi untuk meyakinkan juri.
"Saya tiada apa-apa selain rasa hormat kepada Islam. Dia memang menang. Saya tiada rungutan dan tiada alasan," kata Garry selepas keputusan diumumkan.
Makhachev mengakui bukan mudah untuk mengekalkan prestasi pada tahap tinggi sehingga ke pusingan akhir.
"Ia sentiasa sukar," katanya ketika mengulas pertarungan sengit itu.
Sementara itu, dalam acara bersama utama, juara strawweight wanita UFC, Mackenzie Dern, mempertahankan kejuaraannya buat kali pertama selepas menewaskan wakil Kanada, Gillian Robertson, menerusi keputusan sebulat suara 49-46, 49-46 dan 48-47.
Mackenzie, yang berasal dari Phoenix dan kini berlatih di California Selatan, menguasai pertarungan di atas kanvas sepanjang lima pusingan sambil beberapa kali mengancam dengan percubaan kuncian dan serangan jarak dekat.
Peluang terbaik untuk menamatkan pertarungan hadir pada pusingan pertama apabila Mackenzie hampir melakukan rear-naked choke sebelum loceng berbunyi.
Walaupun sebelum pertarungan Mackenzie yakin mampu menamatkan saingannya sebelum tamat masa, dia tetap berpuas hati dengan persembahan selama lima pusingan.
"Dia memang bagus. Terima kasih kepada semua. Saya sangat menghargainya," kata Mackenzie.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back