BUKIT JALIL – Kumpulan K.O.I mencipta kejutan pada penampilan sulung mereka di Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) apabila dinobatkan sebagai juara menerusi lagu Tiwikarma.
Kemenangan itu membolehkan kumpulan yang dianggotai empat ahli berkenaan membawa pulang trofi utama serta hadiah wang tunai RM100,000.
Tiwikarma dicipta Zai Hamzah dan Hemo Globin, manakala liriknya dihasilkan Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana dan Sapik Sam.
Tempat kedua menjadi milik Aisha Retno menerusi Tak Adil, yang melayakkannya menerima trofi dan wang tunai RM50,000. Ryenald Guntabid pula menduduki tempat ketiga menerusi Lumangad Oku Dika dengan hadiah RM30,000 serta trofi.
Sementara itu, Marsha Milan dinobatkan sebagai penerima Vokal Terbaik menerusi lagu Tangisan Seorang Pendosa, sekali gus membawa pulang trofi dan wang tunai RM12,000.
Aina Abdul turut mencuri perhatian apabila memenangi Persembahan Terbaik menerusi Kamu selepas tampil dengan persembahan berkonsepkan gunung berapi yang dramatik.
Tuah Aina berterusan apabila beliau turut menerima Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee, yang menawarkan trofi eksklusif, wang tunai RM50,000 serta kontrak sebagai Duta Kempen Shopee.
Lebih istimewa, Aina diumumkan sebagai wakil Malaysia ke Eurovision Asia Song Contest 2026, sekali gus menjadi wakil sulung negara untuk edisi pertama pertandingan berkenaan.
Pertandingan yang diadaptasi daripada format terkenal Eropah itu dijadual berlangsung di Bangkok, Thailand pada 14 November ini.
Sebanyak 10 karya berentap pada AJL40, iaitu Lumangad Oku Dika (Ryenald Guntabid), Kamu (Aina Abdul), Cak Cak Cekuk (Wani Kayrie), Ke Mana Ni (Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik), Tak Adil (Aisha Retno), Tangisan Seorang Pendosa (Marsha Milan), Semacam Pandora (Hazama), Lemah (Dayang Nurfaizah), Nurcinta (Amir Masdi) dan Tiwikarma (K.O.I).
Kesemua karya dinilai barisan juri profesional yang terdiri daripada SM Muzaffar, Efry, Ag Coco, Siti Hajar, Ad Samad, LY, Pat Ibrahim dan Helen Yap, dengan Datuk Acis bertindak sebagai ketua juri.
Memasuki dekad keempat penganjurannya, AJL40 terus menjadi antara pentas utama industri muzik tempatan dalam menghargai kreativiti komposer dan penulis lirik.
Edisi kali ini membawa tema ‘Meraikan Empat Dekad: Evolusi dan Masa Depan Muzik Malaysia’ dan berlangsung di Unifi Arena, dengan Naz Rahman dan Sissy Imann bertindak sebagai hos utama.
Fizi Ali serta Fiza Frizzy pula mengendalikan karpet merah dan segmen belakang pentas.
Naz turut mengumumkan AJL40 menjadi penampilan terakhirnya sebagai pengacara program berkenaan sebelum memberi laluan kepada generasi bakat lebih muda.
Malam kemuncak turut dimeriahkan persembahan pembukaan yang menampilkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama anak saudaranya, Umaira, menerusi lagu popular Cindai.
Di bawah pimpinan Pengarah Muzik, Aubrey Suwito, persembahan pembukaan turut menampilkan Datuk Francissca Peter (Sekadar Di Pinggiran), Misha Omar (Bunga-Bunga Cinta), Haqiem Rusli (Jampi), Syamel dan Ernie Zakri (Isabella & Gemilang), Azlan (Lagu Untukmu) serta Umaira (Cindai).
Daiyan Trisha menerusi Jangan Lupa Jaga Dirimu dan Nabila Razali (Warnai Pelangi) turut menghangatkan pentas sebelum segmen interlud menyaksikan gabungan dua figura ikonik, Amelina dan Ziana Zain, menerusi Asyik, Madah Berhelah serta Sangkar Cinta.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back