LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menegaskan penyerang Sweden, Viktor Gyokeres akan terus kekal bersama kelab itu dan tidak akan meninggalkan Stadium Emirates pada jendela perpindahan musim panas ini.
Kenyataan itu sekali gus menamatkan spekulasi yang mengaitkan Gyokeres dengan perpindahan ke Sepanyol, termasuk laporan yang mendakwa beliau berpotensi dijadikan sebahagian daripada tawaran Arsenal bagi mendapatkan penyerang Atletico Madrid, Julian Alvarez.
Gyokeres, yang muncul penjaring terbanyak Arsenal musim lalu selepas menyertai kelab itu menerusi perpindahan bernilai £63.5 juta (RM349.7 juta), kekal menjadi antara tonggak utama skuad The Gunners.
Ketika ditanya mengenai masa depan pemain berusia 27 tahun itu, Arteta memberikan jawapan ringkas.
"Dia akan kekal," katanya.
Mengulas spekulasi mengenai minat Arsenal terhadap Alvarez pula, Arteta enggan mengulas lanjut kerana menghormati status pemain berkenaan.
"Saya tidak akan bercakap mengenai pemain yang bukan milik kami," katanya.
Dalam perkembangan lain, Arsenal dilaporkan masih memantau situasi bintang Real Madrid, Vinicius Junior, yang dikatakan belum mencapai kata sepakat untuk melanjutkan kontraknya di Santiago Bernabeu.
Bagaimanapun, Arteta percaya skuadnya sudah memiliki prospek masa depan yang cerah menerusi kemunculan pemain muda sensasi, Max Dowman.
Pemain berusia 16 tahun itu terus mencuri perhatian apabila meledak satu gol dan mencipta satu bantuan jaringan ketika Arsenal menewaskan Girona 4-1 dalam aksi pra-musim, Sabtu lalu.
Arteta berharap Dowman dapat mengekalkan momentum positif itu dan terus meningkatkan prestasinya menjelang musim baharu.
"Apabila anda bermain untuk Arsenal, jangkaannya sentiasa tinggi dan anda perlu bersedia memberikan yang terbaik.
"Kami tahu apa yang mampu dilakukannya. Kami mahu dia lebih konsisten daripada segi prestasi dan impak yang boleh diberikannya.
"Tetapi saya fikir dia beraksi dengan sangat baik hari ini," katanya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back