• Home
  • Programme
  • Charts
  • Trending
  • Community
  • Media
  • Podcast
Listen Now
Back

WHAT’S HOT

Malaysia Kembali Jadi Tuan Rumah F1 Selepas Sembilan Tahun, Ganti Bahrain GP 2026
28 July 2026 | 12:21 PM

Malaysia Kembali Jadi Tuan Rumah F1 Selepas Sembilan Tahun, Ganti Bahrain GP 2026

KUALA LUMPUR - Malaysia bakal kembali menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 (F1) buat kali pertama sejak 2017 apabila Litar Antarabangsa Sepang dipilih untuk menganjurkan Grand Prix Bahrain 2026 yang sebelum ini ditangguhkan susulan konflik berterusan di Asia Barat.

Perlumbaan yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2026 itu bagaimanapun akan mengekalkan nama Grand Prix Bahrain, dengan negara Teluk itu terus membiayai penganjurannya sebagai tanda komitmen terhadap sukan permotoran berprestij berkenaan.

Keputusan tersebut dibuat selepas usaha Formula 1 untuk mengembalikan perlumbaan di Bahrain ke dalam kalendar musim ini tidak dapat direalisasikan berikutan situasi keselamatan di rantau berkenaan yang masih belum pulih.

Perlumbaan di Sepang akan berlangsung di antara Grand Prix Azerbaijan di Baku dan Grand Prix Singapura, sekali gus mewujudkan tiga perlumbaan berturut-turut dalam jadual musim 2026.

Walaupun perubahan itu masih menunggu kelulusan rasmi Majlis Sukan Permotoran Dunia (World Motor Sport Council), ia dijangka hanya melibatkan proses formal.

Presiden Formula 1, Stefano Domenicali, berkata pihaknya gembira dapat mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah Grand Prix Bahrain 2026.

Menurut beliau, Formula 1 sekali lagi membuktikan keupayaannya menyesuaikan diri dengan situasi semasa, mencari penyelesaian terbaik dan memastikan peminat terus menikmati aksi perlumbaan bertaraf dunia.

Penyertaan Sepang menjadikan jumlah perlumbaan musim 2026 meningkat kepada 23 pusingan, namun keadaan di Asia Barat turut menimbulkan persoalan mengenai kemampuan Qatar dan Abu Dhabi menganjurkan dua perlumbaan terakhir musim ini seperti dijadualkan pada penghujung November dan awal Disember.

Buat masa ini, Formula 1 menegaskan baki jadual musim 2026 kekal tanpa sebarang perubahan, namun tidak menolak kemungkinan melakukan pelarasan lanjut sekiranya keadaan memerlukan.

Sebelum ini, beberapa litar lain termasuk Imola di Itali turut dilaporkan berminat menjadi tuan rumah gantian, manakala Portugal dan Turki yang dijadual kembali ke kalendar F1 pada 2027 turut dianggap sebagai pilihan sekiranya diperlukan.

Putera Mahkota Bahrain, Salman bin Hamad Al Khalifa, berkata penganjuran perlumbaan di Malaysia mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara serta komitmen berterusan Bahrain terhadap Formula 1 walaupun berdepan cabaran serantau.

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata negara bersedia mengalu-alukan kepulangan Formula 1 ke Litar Antarabangsa Sepang.

Beliau berkata Malaysia bersedia mempamerkan kemudahan bertaraf dunia, kecekapan operasi dan layanan mesra kepada pasukan serta peminat dari seluruh dunia, selain mengukuhkan hubungan dua hala melalui penganjuran acara berprestij tersebut.

Dalam pada itu, Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem, berkata keselamatan semua pihak sentiasa menjadi keutamaan sepanjang usaha mencari penyelesaian bagi memastikan Grand Prix Bahrain dapat diteruskan dalam apa jua bentuk.

Musim Formula 1 2026 akan bersambung selepas rehat musim panas menerusi Grand Prix Belanda yang dijadual berlangsung pada 21 hingga 23 Ogos.

Sumber: Sky Sports

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini 

DOWNLOAD OUR FREE APP NOW!

  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!

GET CONNECTED WITH US

I would love to receive more updates from Cats FM!

THE COMPANY

  • About Us
  • Advertise With US
  • Career With Us
  • Contact Us
  • General T & C

STATION

  • Programs
  • Contest
  • CATS Rangers

TRENDING

  • What’s Hot?
  • Artist of the month

CHARTS

  • CATS 30
  • CATS Prebiu
  • Lagu Tebilang CATS

MEDIA

  • Photo Gallery
  • Video Gallery
  • Podcast

COMMUNITY

  • Waktu Solat
  • CATS Activity

© Cats FM 2026

Social Media :

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter / X
  • TikTok