NEW YORK - Selepas Sepanyol muncul juara Piala Dunia 2026, tumpuan dunia kini beralih kepada edisi ke-24 Piala Dunia FIFA 2030 yang bakal mencipta sejarah dengan format penganjuran unik melibatkan enam negara.
Buat pertama kali dalam sejarah, kejohanan itu akan dianjurkan oleh tiga negara dari dua benua, iaitu Sepanyol, Portugal dan Maghribi sebagai tuan rumah utama.
Lebih istimewa, tiga perlawanan pembukaan akan berlangsung di Uruguay, Argentina dan Paraguay sempena sambutan ulang tahun ke-100 Piala Dunia.
Keputusan itu dipersetujui sebulat suara oleh Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi memperingati edisi sulung Piala Dunia yang berlangsung di Montevideo, Uruguay pada tahun 1930.
Uruguay, yang muncul juara edisi pertama selepas menewaskan Argentina pada perlawanan akhir, akan menjadi lokasi utama sambutan bersejarah itu. Argentina pula dipilih bagi mengiktiraf peranannya sebagai naib juara edisi sulung, manakala Paraguay dipilih kerana menjadi lokasi ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL), konfederasi bola sepak pertama yang diwujudkan.
Menurut FIFA, sambutan ulang tahun ke-100 itu melambangkan penghormatan terhadap sejarah kejohanan yang bermula di Amerika Selatan.
"Edisi 2030 adalah pencapaian simbolik buat FIFA kerana meraikan 100 tahun sejak Piala Dunia pertama dimainkan di Amerika Selatan di tiga stadium.
"Selepas rundingan menyeluruh dengan semua konfederasi, Majlis FIFA meluluskan sambutan unik ulang tahun ke-100 Piala Dunia di Amerika Selatan, khususnya di Uruguay, Argentina dan Paraguay," menurut kenyataan badan induk bola sepak dunia itu.
Sebagai tuan rumah utama, Sepanyol, Portugal dan Maghribi akan menerima slot kelayakan automatik ke Piala Dunia 2030.
Uruguay, Argentina dan Paraguay turut mengesahkan tempat ke kejohanan itu kerana menjadi tuan rumah bagi tiga perlawanan pembukaan sempena sambutan ulang tahun berkenaan.
FIFA turut menjelaskan bahawa pencalonan bersama Maghribi, Portugal dan Sepanyol dikemukakan oleh Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) dan Kesatuan Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA), manakala pencalonan Uruguay, Argentina dan Paraguay bagi sambutan ulang tahun ke-100 dikemukakan oleh CONMEBOL.
Menurut FIFA, ketiga-tiga konfederasi itu menyokong cadangan berkenaan sebagai satu inisiatif untuk menggabungkan sejarah, warisan dan masa depan Piala Dunia dalam satu edisi yang bakal dikenang sebagai antara yang paling unik dalam sejarah kejohanan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back