ISTANBUL, 20 Julai - Penyerang Perancis Kylian Mbappe menjadi pemain pertama memenangi anugerah Kasut Emas Piala Dunia sebanyak dua kali, manakala juara Sepanyol meraih baki anugerah individu utama termasuk Bola Emas yang dimenangi kaptennya, Rodri, lapor Anadolu Ajansi.
Mbappe muncul penjaring terbanyak kejohanan 2026 dengan 10 gol dalam lapan perlawanan, mengatasi kapten Argentina Lionel Messi yang menjaringkan lapan gol.
Selepas memenangi Kasut Emas dengan lapan gol pada Piala Dunia Qatar 2022, pemain berusia 27 tahun itu menjadi pemain pertama mempertahankan anugerah berkenaan.
Jumlah jaringan itu turut menjadikannya pemain pertama sejak Gerd Muller dari Jerman Barat pada 1970 yang menjaringkan 10 gol dalam satu edisi Piala Dunia.
Hanya Just Fontaine dari Perancis dengan 13 gol pada 1958 dan Sandor Kocsis dari Hungary dengan 11 gol pada 1954 pernah menjaringkan lebih banyak gol dalam satu edisi kejohanan itu.
Mbappe turut muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia lelaki selepas meledak dua gol ketika Perancis tewas 4-6 kepada England dalam aksi penentuan tempat ketiga pada Sabtu.
Jaringan itu meningkatkan jumlah keseluruhan golnya di Piala Dunia kepada 22, satu gol mengatasi Messi.
Jude Bellingham dari England dan Erling Haaland dari Norway berkongsi tempat ketiga dalam senarai penjaring terbanyak dengan masing-masing tujuh gol, manakala Ousmane Dembele dari Perancis serta kapten England Harry Kane menamatkan kejohanan dengan enam gol.
Rodri dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan selepas mengetuai Sepanyol meraih kejuaraan Piala Dunia kedua mereka.
Messi menerima anugerah Bola Perak, manakala Mbappe memenangi Bola Gangsa.
Penjaga gol Sepanyol Unai Simon meraih Sarung Tangan Emas selepas hanya dibolosi sekali dalam lapan perlawanan serta mencatat tujuh perlawanan tanpa bolos.
Pemain pertahanan Sepanyol berusia 19 tahun Pau Cubarsi pula dinobatkan sebagai pemain muda terbaik kejohanan selepas beraksi pada setiap minit sepanjang kempen pasukan juara itu.
Sumber: BERNAMA-ANADOLU
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back