ARLINGTON, Amerika Syarikat - Pemain tengah Perancis, Rayan Cherki mengakui sukar menerima kekecewaan selepas Les Bleus tersingkir daripada saingan Piala Dunia 2026, namun mengakui Sepanyol berhak mara ke final selepas mempamerkan aksi lebih berkualiti pada perlawanan separuh akhir di Dallas.
Cherki, yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua, berkata Sepanyol jelas mengatasi Perancis dari aspek taktikal dan kawalan permainan, walaupun beliau percaya skuad Les Bleus memiliki kualiti pemain yang lebih baik secara keseluruhan.
"Saya tidak pasti sama ada kami ketandusan idea atau kurang menunjukkan kegigihan.
"Hari ini mereka begitu mudah merampas semula penguasaan bola. Jika kami dapat memenangi lebih banyak perebutan bola, kami pasti mampu memberikan tekanan yang lebih besar kepada mereka," katanya.
Menurut pemain muda itu, jurulatih sudah meniupkan semangat kepada pasukan ketika rehat separuh masa dengan menegaskan masih ada peluang untuk bangkit, namun perincian kecil akhirnya menjadi penentu keputusan perlawanan.
Beliau turut mengakui Sepanyol bijak mengawal tempo permainan dan Perancis sepatutnya melakukan perkara yang sama untuk mengimbangi rentak lawan.
"Kekecewaan ini amat mendalam. Mereka lebih baik daripada kami dari segi taktikal dan kedudukan di atas padang. Dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia, segala-galanya ditentukan oleh perincian kecil.
"Mereka lebih unggul dalam setiap aspek permainan hari ini dan benar-benar dahagakan kemenangan. Saya masih percaya kami pasukan yang lebih baik secara keseluruhan, tetapi pada hari ini mereka sememangnya lebih layak menang.
"Mungkin kami juga gagal mengawal emosi dengan baik," katanya lagi.
Kekalahan itu menyaksikan impian Perancis untuk mara ke final Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut tidak kesampaian, manakala Sepanyol mengesahkan tempat ke pentas akhir kejohanan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back