ARLINGTON, Amerika Syarikat - Kekalahan kepada Sepanyol dalam aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 menutup tirai era Didier Deschamps sebagai pengendali Perancis selepas 14 tahun membimbing skuad Les Bleus.
Keputusan itu turut membuka lembaran baharu buat pasukan kebangsaan Perancis yang dijangka akan diketuai legenda bola sepak negara itu, Zinedine Zidane, dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam masa terdekat.
Deschamps, 57, sebelum ini mengesahkan bahawa Piala Dunia 2026 menjadi kejohanan terakhirnya bersama Perancis selepas mengumumkan hasrat untuk berundur pada awal tahun lalu.
Sejak mengambil alih jawatan pada 2012, beliau mencatat 120 kemenangan daripada 183 perlawanan serta mengemudi Perancis ke tiga separuh akhir Piala Dunia. Pencapaian terbesar beliau pastinya muncul apabila membawa Les Bleus muncul juara dunia pada edisi 2018 di Russia.
Zidane, 53, yang pernah bergandingan bersama Deschamps ketika Perancis menjulang Piala Dunia 1998, sudah lama disebut-sebut sebagai calon utama untuk mengambil alih pasukan kebangsaan.
Menurut laporan ESPN, bekas pengendali Real Madrid itu difahamkan telah mencapai persetujuan secara lisan dengan Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) sejak Mac lalu.
Bagaimanapun, pengumuman rasmi masih menunggu beberapa perkara dimuktamadkan, termasuk struktur jawatankuasa serta barisan kejurulatihan sebelum kontrak dimeterai.
Sebagai jurulatih, Zidane memiliki rekod yang cukup mengagumkan apabila mencipta sejarah bersama Real Madrid dengan memenangi tiga kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) berturut-turut, selain menjulang dua gelaran La Liga.
Bekas pemenang Ballon d'Or 1998 dan tiga kali Pemain Terbaik Dunia FIFA itu kini dilihat sebagai individu paling sesuai untuk meneruskan legasi Perancis dan memastikan mereka terus kekal sebagai antara kuasa utama bola sepak dunia.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back