KANSAS - Penyerang Argentina, Lautaro Martinez, menjadi tumpuan kontroversi menjelang aksi separuh akhir Piala Dunia menentang England apabila segelintir peminat menggesa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggantungnya kerana didakwa melanggar peraturan ketika meraikan jaringan.
Martinez menjaringkan gol ketiga Argentina dalam kemenangan ke atas Switzerland pada aksi suku akhir, sekali gus mengesahkan kemaraan juara dunia itu ke kelompok empat pasukan terbaik.
Bagaimanapun, sambutan gol pemain itu mencetuskan perdebatan apabila dia dilihat melompat melepasi penghadang dan menyertai penyokong di tempat duduk penonton untuk meraikan jaringan berkenaan.
Tindakan tersebut menyebabkan beberapa penyokong mempersoalkan keputusan pengadil yang tidak mengeluarkan kad kuning kedua kepada Martinez, walaupun dia sudah pun menerima kad kuning sebelum itu.
Seorang pengguna di platform X mendakwa tindakan penyerang itu sepatutnya membawa kepada kad kuning kedua, sekali gus menyebabkan dia digantung daripada aksi separuh akhir menentang England.
“Lautaro Martinez sudah pun menerima kad kuning ketika menjaringkan gol. Dia kemudian melintasi penghadang dan naik ke kawasan tempat duduk penyokong untuk meraikan jaringan itu.
“Perbuatan itu sepatutnya dikenakan kad kuning, namun pengadil dan VAR seolah-olah mengabaikan peraturan,” tulis pengguna berkenaan.
Seorang lagi penyokong turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan menyindir FIFA kerana didakwa memberi layanan istimewa kepada Argentina sepanjang kejohanan.
Menurutnya, ketiadaan kad kuning kedua bermakna Martinez tidak dikenakan penggantungan dan kekal layak beraksi dalam perlawanan separuh akhir.
Berdasarkan Undang-undang Permainan FIFA, pemain boleh dikenakan kad kuning sekiranya meraikan gol dengan cara yang melanggar peraturan, termasuk memanjat pagar perimeter atau menghampiri penyokong sehingga menimbulkan isu keselamatan, atau melakukan tindakan yang bersifat provokatif, menghina atau mencetuskan kemarahan.
Peraturan sama turut melarang pemain menutup muka dengan topeng atau objek seumpamanya, serta menanggalkan jersi atau menutup kepala menggunakan jersi ketika meraikan jaringan.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back