ARLINGTON - Bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal, berpeluang mencipta sejarah apabila berusaha mengikut jejak Kylian Mbappe muncul juara Piala Dunia pada usia remaja, namun perlu terlebih dahulu membantu Sepanyol menewaskan Perancis pada aksi separuh akhir awal pagi Rabu.
Mbappe mencipta nama apabila menjulang trofi Piala Dunia bersama Perancis pada edisi 2018 ketika berusia 19 tahun. Kini, Yamal pula berada di landasan untuk melakar kisah gemilang bersama skuad La Roja.
Pemain sayap Barcelona itu bukan asing dengan pentas besar selepas meledak gol sensasi ketika membantu Sepanyol menewaskan Perancis 2-1 pada separuh akhir EURO 2024, hanya beberapa hari sebelum menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-17.
Sepanyol kemudian menewaskan England pada aksi final, manakala Yamal dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik kejohanan.
Kini, menjelang ulang tahun kelahirannya yang ke-19, Yamal sekali lagi berdepan Perancis dalam satu lagi perlawanan penting yang boleh menentukan hala tuju karier antarabangsanya.
Walaupun masih muda, Yamal bertekad memberikan impak besar dalam penampilan sulungnya di pentas Piala Dunia, lebih-lebih lagi selepas hampir terlepas kejohanan akibat kecederaan hamstring yang dialami ketika bersama Barcelona pada penghujung musim.
"Saya bimbang kecederaan itu lebih serius atau berulang sehingga menyebabkan saya terlepas Piala Dunia," katanya.
Yamal memulakan kempen sebagai pemain gantian ketika Sepanyol seri tanpa jaringan dengan Cape Verde sebelum meledak satu gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Arab Saudi.
Bagaimanapun, dia masih belum menemui sentuhan penyudah sejak itu walaupun terus diberi kepercayaan untuk beraksi dalam setiap perlawanan.
Kapten Sepanyol, Rodri, percaya Yamal terlalu bersemangat untuk membuktikan kemampuannya tetapi yakin pemain muda itu memiliki kualiti luar biasa.
"Lamine hanya perlu mengawal sedikit keinginannya untuk sentiasa membuktikan betapa pentingnya dia kepada pasukan.
"Dia sudah menunjukkan kematangan luar biasa di EURO dan kini dua tahun lebih matang. Kami tahu apa yang mampu dilakukannya," kata Rodri.
Sementara itu, Perancis kembali mempamerkan ketajaman di hadapan gol selepas prestasi hambar pada EURO, dengan Mbappe terus menjadi sandaran utama Les Bleus.
Penyerang berusia 27 tahun itu kini mengumpul lapan gol, menyamai Lionel Messi dalam perebutan Kasut Emas, selain hanya ketinggalan satu jaringan di belakang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia milik legenda Argentina itu yang berjumlah 21 gol.
Selepas muncul juara dunia pada 2018 dan menjaringkan hatrik pada final 2022, Mbappe kini memburu penampilan ketiga berturut-turut di pentas final Piala Dunia.
Jika berjaya membawa Perancis mara, dia akan menyamai pencapaian legenda Brazil, Cafu, yang beraksi dalam tiga final berturut-turut dari 1994 hingga 2002.
Mbappe menegaskan fokus utamanya ketika ini hanyalah memastikan Perancis kembali beraksi di final.
"Saya sudah pernah menjadi juara dan naib juara Piala Dunia, tetapi masih ramai pemain dalam skuad ini belum pernah merasainya.
"Pasukan ini mempunyai potensi yang sangat besar dan kami mahu berada di final sekali lagi," katanya.
Pertembungan di Arlington turut menambah kemeriahan persaingan antara Mbappe dan Yamal yang semakin mencuri perhatian dunia bola sepak.
Sepanjang dua tahun lalu, kedua-dua pemain kerap bertemu dalam aksi El Clasico dan perlawanan antarabangsa, dengan Yamal memiliki rekod lebih baik apabila memenangi lapan daripada 10 pertemuan, manakala Mbappe hanya mencatat dua kemenangan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back