ATLANTA - Lionel Messi mungkin sudah menjulang hampir setiap trofi yang diimpikan dalam dunia bola sepak, namun bintang Argentina itu bakal mencipta satu lagi detik bersejarah apabila turun menentang England buat kali pertama di pentas antarabangsa.
Kapten Argentina berusia 39 tahun itu dijadual mengetuai juara bertahan berdepan England dalam aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 di Atlanta, awal pagi Khamis.
Meskipun sudah mengumpul lebih 200 penampilan serta menjaringkan 125 gol bersama skuad kebangsaan, pemenang Ballon d'Or sebanyak lapan kali itu belum pernah berdepan skuad Three Lions sepanjang kariernya.
Argentina mara ke separuh akhir selepas bangkit menewaskan Switzerland 3-1 menerusi masa tambahan pada peringkat suku akhir.
Walaupun gagal menemui jaringan buat kali pertama dalam kejohanan kali ini, Messi masih berkongsi kedudukan teratas senarai penjaring bersama penyerang Perancis, Kylian Mbappe, dengan lapan gol. Beliau turut memegang rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah Piala Dunia.
Bekas pertahanan England yang kini bertugas sebagai penganalisis BBC, Micah Richards, percaya perlawanan itu bakal menjadi antara aksi paling dinantikan dalam kejohanan.
"England mungkin memiliki kelebihan dari segi kepantasan, tetapi Argentina mempunyai pemain luar biasa seperti Messi. Seluruh pasukan bermain untuknya dan itu menjadikan perlawanan ini sangat menarik," katanya.
Menurut Richards, usaha untuk mengawal Messi bukan tugas mudah kerana kebolehannya mencari ruang sempit, membaca permainan dan mencipta peluang pada saat-saat penting menjadikannya ancaman utama buat mana-mana lawan.
Dalam pada itu, legenda England, Wayne Rooney, melihat aspek pertahanan Messi sebagai ruang yang boleh dieksploitasi oleh skuad kendalian Thomas Tuchel.
"Messi tidak banyak membantu ketika bertahan dan itu mungkin boleh dimanfaatkan England. Namun, pemain sepertinya mampu mengubah keputusan perlawanan hanya dengan satu detik magis, sama seperti Jude Bellingham," katanya.
Sementara itu, pakar bola sepak Amerika Selatan, Tim Vickery, menyifatkan pertemuan tersebut sebagai detik yang sudah lama dinantikan oleh Messi dan penyokong Argentina.
"Mustahil untuk membayangkan Messi menamatkan karier antarabangsanya selepas lebih 200 perlawanan tanpa pernah menentang England, pasukan yang dianggap musuh tradisi utama oleh ramai penyokong Argentina. Suasana di stadium pasti cukup luar biasa," katanya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back